Sebanyak 15 motosikal dipercayai milik mat rempit disita dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB), di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam operasi bersepadu bermula pukul 1 pagi itu, pihaknya menyita semua motosikal berkenaan kerana pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk ada penunggangnya yang berlumba haram di situ.

"Pihak polis menjalankan intipan dan risikan terlebih dahulu sebelum melancarkan operasi bersepadu itu dan ia dilakukan bagi memerangi kegiatan mat rempit yang menjadikan kawasan terbabit sebagai lokasi lumba haram.

"Walaupun hujan renyai, namun golongan ini masih berdegil dan menunjukkan pelbagai aksi yang boleh mengundang bahaya kepada mereka dan juga pengguna jalan raya lain," katanya.

Katanya dalam operasi selama tujuh jam itu, pihaknya turut mengeluarkan 92 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas antaranya tiada lesen memandu, tiada cukai jalan, tidak memakai topi keledar dan mengubah suai motosikal.

Noorzainy berkata hasil pemeriksaan polis juga mendapati ada yang tidak mempunyai lesen sah dan ada juga penunggang bawah umur, kesemua mereka dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

"Operasi bersepadu itu disertai 100 pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar dan Majlis Perbandaran Seberang Perai," katanya.

Katanya operasi itu akan diteruskan dari semasa ke semasa dalam usaha membendung kegiatan mat rempit dan lumba haram di lebuh raya yang menjadi tumpuan golongan berkenaan terutama pada malam hujung minggu.

Beliau turut meminta kerjasama ibu bapa dan penjaga agar dapat mengawal serta memantau aktiviti anak-anak mereka supaya tidak terlibat dalam aktiviti mat rempit serta lumba haram.

-- BERNAMA