Sebelum menangguhkan sidang dewan kira-kira 11 malam, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul mengucapkan syabas kepada semua Ahli Parlimen yang berbahas dengan baik dan berhemah serta menasihatkan mereka supaya hadir ke Dewan Rakyat bagi sesi jawapan menteri-menteri selama dua hari bermula esok.
Menurutnya 15 kementerian akan menjawab segala persoalan dibangkitkan Ahli-Ahli Parlimen pada esok manakala 13 kementerian lagi pada Khamis.
Terdahulu, isu perumahan terutamanya pemilikan kediaman mampu milik dalam kalangan belia antara yang menjadi tumpuan Ahli Parlimen pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja hari ini.
Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata rakyat terutamanya belia berdepan kesukaran untuk memiliki kediaman sendiri kerana harga yang ditawarkan di luar kemampuan mereka.
"Ada salah padan di sini, kalau tawaran rumah pada harga RM300,000, maknanya pendapatan bulanan seseorang individu itu (untuk mampu membeli) mestilah dalam lingkungan RM8,000 bersamaan pendapatan tahunan RM98,000, adakah anak-anak muda kita mempunyai pendapatan RM8,000 sebulan?" katanya.
Beliau berkata golongan B40 dan M40 juga mempunyai masalah untuk memiliki kediaman sendiri.
Membahaskan isu sama, Riduan Rubin (Bebas-Tenom) berkata permintaan dan penawaran perumahan yang tidak seimbang juga menjurus kepada kegagalan golongan belia untuk memiliki kediaman.
"Di Sabah contohnya, permintaan bagi perumahan rakyat ialah 4,500 unit dalam setahun namun apa yang ditawarkan Kerajaan Persekutuan di negeri ini ialah sekadar 400 unit sahaja," katanya.
Datuk Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) pula meminta supaya projek perumahan seperti Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Skim Pembesaran Kampung diperbanyak di Sarawak.
Menurutnya inisiatif itu akan membuka lebih banyak peluang pemilikan kediaman atau rumah mampu milik khususnya kepada golongan belia.
Persidangan dewan bersambung esok.
-- BERNAMA