140 individu jalani kuarantin di Bangkok dibenarkan pulang hari ini, seorang masih dirawat
Bernama
Februari 18, 2020 07:46 MYT
Februari 18, 2020 07:46 MYT
Seramai 140 individu yang akan menamatkan tempoh kuarantin 14 hari selepas dibawa pulang oleh kerajaan Thailand dari kawasan wabak COVID-19 di Wuhan, China pada 4 Feb lepas, akan dibenarkan pulang hari ini, dan tinggal seorang sahaja lagi yang masih akan terus menerima rawatan di hospital.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam Thailand Sathit Pitutecha berkata pada 4 Februari lepas, 141 orang yang termasuk tiga pegawai dari Kementerian Luar Thailand, dibawa pulang dari Wuhan, China, oleh kerajaan Thailand.
Beliau berkata dari jumlah itu, hanya seorang yang disahkan positif COVID-19 pada 8 Februari lepas, dan menerima rawatan di Chon Buri Hospital.
"Seramai 140 lagi yang disahkan negatif COVID-19 akan dibenarkan pulang esok," katanya dalam sesi taklimat harian pada Selasa.
Sehingga kini 35 kes yang disahkan COVID-19 dicatatkan di Thailand dengan 17 daripadanya sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar dari hospital, manakala selebihnya masih menjalani rawatan.
-- BERNAMA
#Bangkok
#China
#COVID-19
#Kementerian Luar
#koronavirus
#Sathit Pitutecha
#Thailand
#Timbalan Menteri Kesihatan Awam Thailand
#Wuhan