Hakim, K Muniandy memutuskan demikian selepas meneliti permohonan 14 tertuduh itu selaku pemohon.
Semua tertuduh itu ialah Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51, dan Mohd Azwan Jamaludin, 39.
Baki empat tertuduh lain ialah Nidarahayu Zainal, 36, Raibafie Amdan, 41, Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 25 dan Edy Ko'im Said, 42.
Semua tertuduh turut dikenakan beberapa syarat tambahan iaitu tidak boleh berkomunikasi dengan saksi-saksi pendakwaan.
Hakim turut memerintahkan mereka melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
“Setiap tertuduh dikenakan perintah larangan bersuara dan dihalang daripada mengulas kes itu dalam mana-mana penerbitan termasuk media sosial.
“Jika tertuduh tidak mematuhi syarat itu, mahkamah boleh membatalkan jaminan yang diberikan ini.
"Kesalahan adalah serius, mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin pada kadar berkenaan," katanya yang menetapkan perbicaraan pada 7 hingga 11 Julai tahun depan sementara 23 Januari untuk sebutan kes.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara niat bersama menahan mangsa untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit di Jalan Mayang di sini pada jam 10.40 malam 28 September 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes berkenaan berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kesemua tertuduh untuk kes itu dibicarakan di Mahkamah Sesyen.
Pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula di Mahkamah Sesyen pada 19 Januari lalu dan kesemua tertuduh membuat permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan. - Sinar Harian