Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah menyenaraikan 14 jenis barangan makanan di bawah skim kawalan harga sempena perayaan Deepavali, 2 November ini.

Menterinya, Datuk Hassan Malek, berkata barangan tersebut adalah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B, C, daging kambing tempatan, daging kambing biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging peha kambing biri-biri import bertulang, tomato, bawang merah kecil, ubi kentang import dan kacang dhal.

“Skim ini akan berkuatkuasa selama 10 hari dari 28 Oktober hingga 6 November,” katanya ketika satu sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Hassan berkata skim ini dilaksanakan supaya pengguna dapat memperolehi barang-barang perlu musim perayaan pada harga yang berpatutan dan menyekat daripada peningkatan harga yang melampau.

Hassan berkata peniaga-peniaga diwajibkan menjual barangan harga terkawal mengikut harga maksimum yang ditentukan dan meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan dengan barang-barang lain.

“Peniaga-peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Akta tersebut menggariskan denda RM100,000 dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk mereka yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Bagi mereka yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, mahkamah boleh mengenakan denda Rm10,000 atau kompaun RM5,000 ke atas individu dan denda RM20,000 atau kompaun RM10,000 ke atas syarikat.

Harga barangan kawalan