GERIK: Seramai 101 orang daripada 37 keluarga ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) susulan penempatan mereka terkesan banjir yang berlaku di daerah Hulu Perak, di sini.

Ia susulan hujan lebat berterusan sejak petang Jumaat hingga larut malam yang menyebabkan tiga kampung dinaiki air.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Negeri Perak, sementara itu terdapat satu lagi PPS dibuka di Hilir Perak akibat kejadian kebakaran yang membabitkan 22 orang daripada empat keluarga.

"PPS di Hulu Perak merangkumi SK Basia Lama dan SMK Gerik.

"64 orang daripada 21 keluarga dari Kampung Badaring dan Kampung Sira Panas manakala 37 orang daripada 16 keluarga dari Kampung Padang.

"PPS di Hilir Perak iaitu Dewan MPTI Taman Desa Aman pula melibatkan kawasan yang terjejas terbakar di Lorong 9, Taman Muhibbah, Teluk Intan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia turut mengeluarkan ramalan cuaca di Perak dengan hampir semua daerah akan hujan pada sebelah petang dan malam hari ini.