Biarpun melepasi tempoh itu tanpa kekecohan besar, namun jangkaan rakyat juga bukan kecil, apatah lagi dalam aspek pemulihan ekonomi dan kedudukan negara di mata dunia.
Secara umumnya, rakyat Malaysia didapati tidak berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan dalam menunaikan manifesto.
Kabinet Perpaduan Nasional 2023
Ia boleh dilihat menerusi dapatan kaji selidik mega Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan, yang menyaksikan 51 peratus responden mengatakan mereka tidak berpuas hati.
Hanya 25 peratus mengaku berpuas hati sementara 24 peratus bersikap neutral.
Sentimen yang rendah dari kalangan masyarakat Melayu terhadap keyakinan kerajaan menjadi cabaran utama pentadbiran Anwar.
Ini terbukti apabila kaum Melayu di Semenanjung mencatatkan tahap ketidakpuasan hati paling tinggi, dengan 71 peratus.
Tahap kepuasan masyarakat bukan Melayu berada pada tahap positif kepada kerajaan dan mengambil sikap berhati-hati terhadap tindak-tanduk kerajaan.
Majoritinya berpuas hati dengan usaha Kerajaan Perpaduan untuk menunaikan manifesto, dengan kaum India mencatat angka tertinggi iaitu 48 peratus, Bumiputera Sabah (42 peratus) dan Bumiputera Sarawak (37 peratus).
Kaji selidik secara dalam talian itu digerakkan secara bersama oleh Sinar Harian, Astro AWANI, Sin Chew, The Star dan Malaysia Nanban dengan kerjasama firma penyelidikan, O2 Research.
Lebih 36,000 responden mengambil bahagian dalam kaji selidik yang dijalankan selama 10 hari tersebut.
Sebelum ini, kaji selidik mega pernah digerakkan lima media perdana negara bersama firma penyelidikan sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dengan membawa mesej jelas iaitu mengumpulkan hasrat dan suara rakyat Malaysia.
Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November tahun lalu setelah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.