KUALA LUMPUR: Rasuah di peringkat global yang berleluasa dalam sektor perolehan awam dengan pelbagai pintu masuk telah menelan 10 hingga 30 peratus daripada kos projek pelaburan modal, menurut Kumpulan Bank Dunia.

Pakar Sektor Awam Bank Dunia, Rajni Bajpai berkata, lebih separuh daripada kes berkaitan rasuah asing melibatkan perolehan awam, manakala tinjauan ke atas pemilik perniagaan secara konsisten mengenal pasti rasuah dalam perolehan awam sebagai kekangan utama bagi menjalankan urus niaga di seluruh dunia.

"Perolehan awam sering menjadi tumpuan perbincangan mengenai rasuah, ia mempunyai keadaan yang kompleks yang meluas untuk ekonomi dan penyampaian perkhidmatan awam," katanya pada majlis pelancaran secara maya rantau Asia Timur dan Pasifik (EAP) laporan global: 'Meningkatkan Keberkesanan dan Ketelusan Kerajaan - Usaha Memerangi Rasuah'.

Oleh itu, ia merangkumi antara 10 hingga 25 peratus daripada perbelanjaan awam di peringkat global.

"Ini seterusnya menonjolkan bahawa rasuah dalam perolehan mewujudkan insentif yang salah untuk firma-firma dan menganggu persaingan serta pertumbuhan ekonomi," jelasnya.

Laporan global itu menekankan kepentingan melengkapkan usaha tradisional menangani rasuah dengan kaedah canggih seperti GovTech, memperbaharui urusan perolehan, pendedahan aset dan pendapatan termasuk pemilikan benefisiari.

Beliau ketika mengulas mengenai rasuah dalam kastam menjelaskan dengan keputusan perniagaan dan pelaburan oleh syarikat-syarikat multinational semakin tertakluk kepada persaingan antarabangsa, kehadiran rasuah yang meluas dalam kastam telah menjadi penghalang utama kepada pelaburan asing.

Selain itu, amalan rasuah dalam kastam menimbulkan kesangsian baharu yang terkait dengan keselamatan negara serta keganasan antarabangsa.

Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Bank Dunia EAP Victoria Kwakwa ketika bercakap mengenai usaha menangani isu-isu tersebut berkata bank itu akan membangunkan analisis data bagi meningkatkan analisis dan pengukuran rasuah untuk membangunkan asas bukti yang lebih kukuh bagi pembaharuan dasar.

Beliau berkata data itu akan memberikan wawasan yang mencerminkan sifat masalah rasuah dan kesan merentasi pelbagai peringkat kerajaan, sektor termasuk konteks.

-- BERNAMA