10 berita pilihan sepanjang hari ini
Astro Awani
April 27, 2020 23:19 MYT
April 27, 2020 23:19 MYT
ANTARA pelbagai berita dari dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah 10 berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini, Isnin, 27 April 2020.
PERKEMBANGAN ISU COVID-19
Malaysia mencatatkan pertambahan satu lagi kes kematian melibatkan COVID-19 setakat jam 12 tengah hari, hari ini. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini sebanyak 99 kes atau 1.7 peratus.
Seramai 1,128 pelajar Institut Pendidikan Tinggi Awam dan Institut Pendidikan Tinggi Swasta akan mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing mulai Isnin malam.
Angka kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia mencatatkan peningkatan 5,000 kematian dalam tempoh 24 jam. Jumlah keseluruhan yang maut akibat wabak itu kini mencecah 206,000 kes.
New York dijangka akan dibuka semula secara berperingkat mulai pertengahan Mei ini. Ia ekoran keyakinan bersandarkan beberapa indikator bahawa wabak COVID-19 itu telah melepasi puncaknya di kota metropolitan tersebut.
Jumlah pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital di Wuhan, China di mana punca pandemik itu terjadi mencatat angka sifar selepas pesakit terakhir dibenarkan pulang pada Jumaat.
NORMAL BAHARU
Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menggesa pengusaha perniagaan untuk bangkit daripada krisis COVID-19 dan kekal positif dan melihatnya sebagai peluang untuk menjadi lebih produktif dengan memanfaatkan teknologi.
Ketiadaan bazar Ramadan pada tahun ini berikutan penularan COVID-19 mampu mengawal isu pembaziran makanan yang berlaku setiap kali bulan Ramadan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Pandemik COVID-19 yang melanda negara dan dunia pada ketika ini umpama seperti tsunami 2004 yang bakal mengubah landskap ekonomi Malaysia. Bersediakah kita untuk mendepani corak amalan dan gelagat ekonomi pasca COVID-19?
Pengarah dan aktivis teater, Puan Sri Tiara Jacquelina berkata produksinya, yang sejak tahun lalu giat menjalankan persiapan untuk 'menghidupkan' semula kegemilangan muzikal Puteri Gunung Ledang, kini sudah melakukan perubahan mengikut situasi.
Bagi memastikan rakyat khususnya masyarakat negeri Kelantan memahami Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Penerangan Kelantan memperkenalkan sebuah lagu berkonsepkan Dikir Barat bagi tujuan itu.
#COVID-19
#dikir barat
#institusi pendidikan tinggi
#New York
#pelajar
#PKS
#Wuhan
#Zulkifli Mohamad Al-Bakri