KUALA LUMPUR: Sejumlah 1,776 unit rumah mendapat manfaat menerusi inisiatif program MADANI Afiat yang dilakukan di tujuh negeri dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran dan tahap kesihatan rakyat Malaysia.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sebanyak 2,863 penduduk berusia 18 tahun ke atas telah disaring melalui aktiviti saringan kesihatan dari rumah ke rumah yang dilaksanakan di Selangor, Kedah, Terengganu, Johor, Perak, Melaka dan Pulau Pinang.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 771 orang atau 26.93 peratus menghidap diabetes dan 1,041 orang atau 36.36 peratus menghidap hipertensi.

"Sementara 417 orang atau 14.56 peratus pula berisiko mendapat diabetes dan 695 orang atau 24.28 peratus berisiko mendapat hipertensi," katanya kepada pemberita selepas melepaskan pasukan Mobilisasi MADANI Afiat dan Saringan Kesihatan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini semalam.

Beliau berkata program MADANI Afiat kali ini akan melibatkan 135 jururawat dan 50 pegawai farmasi yang akan menjalankan saringan kesihatan di kawasan sekitar WPKL.

"Ia melibatkan sejumlah 380 rumah hari ini, melliputi kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, PPR Raya Permai, PPR Bukit Jalil dan Apartmen Kuchai Lama.

"Saringan kesihatan turut dilakukan di Dewan Komuniti Salak Selatan dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Salak Selatan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaliha menasihati orang ramai supaya mengamalkan langkah penjagaan kendiri antaranya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan memakai pelitup muka bagi membendung peningkatan kes COVID-19 pada sambutan Hari Krismas nanti.

-- BERNAMA