IPOH: Sebanyak 1,607 saman atas kesalahan pandu laju dikeluarkan dalam tempoh 12 jam operasi di 11 lokasi seluruh negeri sempena Op Selamat 17 Tahun Baharu Cina pada Khamis.

Operasi bermula jam 8 pagi itu membabitkan Jalan Aulong di Taiping; Jalan Keramat Pulai dan Jalan Klebang Indah (Ipoh); Pekan Langkap dan Kilometer 17 Jalan Chenderong Balai-Teluk Intan (Hilir Perak); Kilometer 23 Jalan Ipoh-Lumut (Batu Gajah); Kilometer 23 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar (Sungai Siput); Kilometer 38 Jalan Kuala Kangsar-Gerik (Gerik).

Operasi disertai enam pegawai kanan dan 40 anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak itu turut menyasarkan pengguna jalan raya di Kilometer 48 Jalan Persekutuan Kuala Kangsar-Gerik (Kuala Kangsar); Kilometer 72 Ipoh-Kuala Lumpur (Tapah) dan Kilometer 115 Ipoh-Butterworth (Kerian).

Timbalan Ketua JSPT Perak, Deputi Superintendan Roslan Mohamed berkata, kesalahan pandu laju paling tinggi adalah melibatkan kereta.

"Dalam operasi ini, sebanyak 1,715 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan daripada jumlah itu, kesalahan pandu laju adalah paling tinggi iaitu 1,607 saman diikuti nombor pendaftaran kenderaan (31), tali pinggang keledar (25) dan 11 bagi kesalahan tidak memiliki lesen memandu.

"Kesalahan lain pula membabitkan tiada lesen kenderaan motor (LKM) dengan lapan saman, ubah suai ekzos (7), cermin sisi (5), topi keledar (4) dan tiga saman bagi kesalahan lesen tamat tempoh, lampu isyarat merah, lampu brek ketiga dan tidak pamer P," katanya kepada pemberita di sini pada Khamis.

Beliau berkata, kebanyakan saman dikeluarkan kepada pemandu kereta iaitu 1,204 kes, kenderaan pelbagai guna (MPV) dengan 214 kes, pacuan empat roda (205), motosikal (43), van komersial (27), lori (13), teksi (5) manakala van persendirian dan bas masing-masing dua.

Dalam operasi berasingan, dua lelaki ditahan selepas pemeriksaan dijalankan mendapati positif dadah jenis THC dan methamphetamine.

Roslan berkata, lelaki berusia 47 dan 21 tahun itu ditahan selepas gagal ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam Op Mabuk di sekitar Manjung pada Khamis.

Katanya, operasi bersama AADK dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu diadakan di lima lokasi iaitu di Jalan Sitiawan-Pantai Remis, KM 6 Seri Manjung-Pantai Remis, Jalan Pantai Remin-Manjung, Jalan Pelabuhan Kampung Acheh dan Jalan Li Chin Mei bermula jam 4.45 petang.

"Dalam operasi itu, sebanyak 47 saman dikeluarkan membabitkan kesalahan LKM (15), nombor pendaftaran (13), tali pinggang (11), tiada lesen memandu (3), lesen tamat tempoh (3) dan tidak pamer P (2)," katanya.

Roslan sebelum itu mengetuai kempen kesedaran jalan raya dijalankan di persimpangan lampu isyarat pelabuhan Jalan Kampung Acheh, Sitiawan.

Kempen yang digerakkan bersama Perkeso dan AADK itu antara lain memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.


*Berita asal di Sinar Harian