Seramai 1,090 warga asing yang bekerja sebagai pengawal keselamatan secara tidak sah, ditangkap dalam operasi bersepadu di seluruh negara sepanjang 2014 dan 2015.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata hasil operasi itu, seramai 29 majikan yang menggaji pengawal keselamatan asing secara haram dikenakan kompaun oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

"KDN juga membatalkan lesen 40 syarikat kawalan keselamatan manakala 49 syarikat dikenakan amaran terakhir atas pelbagai kesalahan termasuk menggunakan pengawal keselamatan warga asing haram.

"KDN hanya membenarkan pengawal keselamatan warganegara Nepal untuk bekerja bagi tempoh tiga tahun sahaja," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas mengenai laporan akhbar bertajuk '40,000 Jaga Asing Haram', Alwi berkata jika ada permohonan melanjutkan tempoh bekerja bagi tahun keempat dan kelima pekerja asing daripada syarikat kawalan keselamatan, ia tertakluk kepada dasar perkhidmatan pekerja asing di Malaysia.

"KDN memandang serius dakwaan dan laporan mengenai kebanjiran pengawal keselamatan warga asing haram dan akan mengambil tindakan tegas berterusan mengatasinya mengikut peraturan ditetapkan di bawah Akta Agensi Persendirian 1971, Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Pendaftaran Negara 1959," katanya.

Alwi berkata dakwaan atau laporan mengenai kebanjiran pengawal keselamatan warga asing secara haram itu disebabkan kecenderungan syarikat kawalan keselamatan sendiri yang mahukan keuntungan lebih semata-mata.

"Dengan cara itu, majikan tidak perlu membayar Levi, Cukai Perkhidmatan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan menjaga kebajikan pekerja seperti ditetapkan kerajaan.

"Selain itu, ada majikan sengaja tidak memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pengawal keselamatan warganegara Nepal yang bekerja dengannya," katanya.

Sehubungan itu, KDN mengadakan operasi penguatkuasaan bersepadu secara berterusan bersama-sama Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara sejak 1 Nov 2013, yang diselaraskan oleh Badan Bertindak Khas.

Beliau turut meminta orang ramai dan Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia melaporkan mengenai pengawal keselamatan warga asing haram kepada KDN atau mana-mana agensi di bawah kementerian itu.