SELEPAS 24 jam pemergian aktor Ashraf Sinclair ke rahmahtullah, penyanyi terkenal, Yuna yang juga adik ipar Allahyarham berkongsi mesej mengenai kehilangan yang mengejut itu.

Di laman Twitter peribadinya, penyanyi yang terkenal dengan lagu Terukir Di Bintang dan Pulang itu memaklumkan, dia dan suaminya, Adam kini berada di Jakarta, Indonesia untuk bersama-sama keluarga.

Yuna dan suaminya difahamkan tiba di Jakarta dari Amerika Syarikat untuk bersama-sama keluarga selepas pasangan itu tidak berkesempatan untuk memberi penghormatan terakhir pada Allahyarham Ashraf yang meninggal dunia pada Selasa.

"Terima kasih semua di atas kiriman mesej. Kami amat merindui Ashraf. Alhamdulillah saya dan Adam kini berada di Jakarta bersama keluarga," kata Yuna.

Dalam hantaran itu, Yuna turut memuat naik sekeping foto ayah dan ibu mertuanya, Mohamad Anthony John Sinclair, Khadijah Abdul Rahman dan suaminya, Adam serta kakak iparnya, Aishah Sinclair memegang potret Allahyarham abang iparnya.


BACA: "Bunga, terima kasih kerana mencintai anak saya" - Bapa Ashraf Sinclair

BACA: Bunga Citra Lestari kehilangan kata-kata...

Ashraf yang juga suami kepada artis ternama Indonesia, Bunga Citra Lestari menghembuskan nafas terakhir pada usia 40 tahun ketika dalam tidur pada awal pagi Selasa.

Pemergian pelakon yang mula membina kerjaya seni di Malaysia itu amat mengejutkan ramai kerana Allahyarham tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Perkahwinannya dengan Bunga yang berusia 11 tahun dikurniakan seorang anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang berusia 10 tahun.

B
ACA:'Semoga diberi jalan yang lapang buat Ashraf' - Bunga Citra Lestari