YOUTUBE mengemas kini Shorts dengan enam ciri baharu yang diharapkan boleh merapatkan jurang ciri yang sudahpun ditawarkan di TikTok.

Ciri pertama yang diperkenalkan ialah menghasilkan sari kata untuk video secara automatik.

Dengan ini golongan pekak atau mereka yang menonton video tanpa audio masih boleh mengikuti kandungan.

Beberapa rekaan sari kata juga boleh dipilih oleh penghasil kandungan sebelum Shorts diterbitkan.

Terdapat juga ciri baharu menghasilkan audio latar berdasarkan teks yang ditaip.

Sekali lagi ini adalah ciri yang sudah lama wujud di TikTok.

Seterusnya ialah ciri Auto Layout yang memudahkan video panjang diubah menjadi Shorts.

Auto Layout dengan bijak akan memilih nisbah skrin dan melakukan zum berdasarkan kandung yang dipilih.

Foto Amanz

Pelekat baharu Add Yours pula menggalakkan penonton untuk berinteraksi dengan Shorts yang telah dihasilkan.

Menerusi ciri ini Remix boleh dihasilkan dengan hanya menekan pelekat yang digunakan.

Kepada pengguna penuras pula, dua penuras baharu berasaskan Minecraft diperkenalkan sempena ulang tahun permainan ini yang ke 15 tahun.

Foto Amanz

Akhir sekali ciri Remix kini membolehkan video Shorts dihasilkan menggunakan Remix di Remix berkali-kali untuk menghasilkan rantaian video berterusan.

Keenam-enam ciri baharu ini akan diberikan kepada semua pengguna Shorts dalam masa terdekat.