NAMPAKNYA pemilihan Ary dalam XPDC Kita Pengyu memang tepat memandangkan bekas penyanyi kumpulan Fahrenheit itu sudah diterima baik oleh rata-rata peminat kumpulan heavy metal itu setakat ini.

Walaupun segelintirnya mungkin masih lagi memperdebatkan perkara tersebut, namun Ary XPDC telah membuktikan bahawa dia memiliki bakat dan karisma yang tersendiri, serta mampu menyesuaikan diri dengan muzik bawaan XPDC.

Maka tidak hairanlah XPDC yang semakin laku dengan jemputan persembahan dan konsert ketika ini masih lagi diserbu ribuan peminat setiap kali beraksi di seluruh pelosok negara.

Apa yang lebih mengejutkan keterampilan Ary bersama XPDC turut diterima oleh peminat mereka di luar negara.

Lebih 3,000 peminat mereka menyerbu Star Theatre, Singapura bagi menyaksikan konsert Tribute To Mael pada minggu lalu.



Agak mengejutkan juga sebenarnya selepas lebih 12 tahun XPDC tidak mengadakan persembahan di sana, ditambah pula selepas kehilangan Allahyarham Mael April lalu, sambutan yang diberikan boleh dianggap agak luar biasa.

Malah harga tiket yang dikenakan juga bukanlah calang-calang, namun peminat setia XPDC membuktikan mereka masih menyokong penuh Raja Metal Malaysia itu sehingga kini.

Menurut Pengurusnya Yazid Selamat, sambutan yang diberikan oleh peminat XPDC Singapura memang luar biasa dan mereka sendiri tidak menyangka kehadiran yang begitu ramai walaupun kini mereka bersama Ary yang menyambung perjuangan XPDC.

“Kita cukup berterima kasih kepada semua peminat XPDC Kita Pengyu yang hadir pada malam itu dan tidak menyangka sambutan yang begitu hebat dari mereka.

“Malah mereka telah menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi walaupun XPDC baharu sahaja melalui fasa yang sukar selepas kehilangan Mael. Malam itu sebenarnya memang kami adakan persembahan yang amat istimewa khas buat peminat XPDC Singapura yang hadir,” katanya kepada Astro AWANI.



Persembahan malam itu juga menyaksikan keluarga Allahyarham Mael turut diundang serta membuat penampilan khas di atas pentas.

Adik kepada Allahyarham Mael, Syed Ali Syed Ibrahim yang berucap sebelum konsert dimulakan turut menghargai jasa peminat yang tidak pernah putus kepada XPDC serta keluarganya.

“Saya mewakili keluarga merakamkan di sini jutaan terima kasih kepada peminat XPDC khasnya di Singapura ini yang tidak pernah putus memberikan sokongan kepada kami selaku keluarga arwah Mael.

“Saya harap sokongan sebegini akan terus diberikan kepada XPDC kita Pengyu dalam memperjuangkan apa yang telah dimulakan oleh Mael,” kata Syed Ali.



Dalam konsert yang berlangsung selama dua jam setengah itu XPDC telah menampilkan lebih 20 buah lagu.
Ia sangat memberi kepuasan kepada peminat yang hadir dan sememangnya dahagakan kehadiran mereka ke Singapura sejak sekian lama.

Selain lagu malar segar XPDC yang sentiasa menjadi siulan mereka di Kota Singa itu, kebanyakan peminat di tanah seberang itu sangat teruja apabila setiap kali XPDC membawakan lagu metal 60-an termasuk La Obe dan juga Hidup Bersama.

Menurut salah seorang peminat yang ditemui Salamah Basiron, 55, XPDC telah membuktikan menerusi konsert pada malam tersebut bahawa mereka masih bertenaga dan masih mendapat tempat di hati peminat mereka.

“Saya agak kagum dengan persembahan mereka, walaupun masing-masing sudah melewati usia 50-an namun tenaga mereka sangat padu dan mampu memberikan muzik persembahan sebegitu rupa dalam tempoh hampir tiga jam.

“Bagi kami sebagai peminat XPDC Singapura memang sangat puas hati dan mahu mereka datang lagi ke sini,” katanya.



Sementara itu, penganjur konsert tersebut Project Sixty Nine Pte Ltd, aksi dan komitmen yang diberikan XPDC adalah di luar jangkaan berdasarkan persembahan mereka malam itu.

Malah mereka agak terkejut dengan tenaga dan mutu persembahan yang ditampilkan serta sambutan peminat yang diterima.

“Kami amat puas hati dengan mutu permainan mereka dan kami telah menyatakan hasrat kepada Yazid (Pengurus XPDC) untuk melihat ruang bagi menjalinkan kerjasama seterusnya dengan mereka.

“Tidak hanya di Singapura, malah kemungkinan kita akan sekali lagi mengadakan konsert sebegini di tempat lain termasuk di Malaysia sendiri…Insya-Allah,” katanya.