SUDAH menonton filem terbaru Annabelle Comes Home?
Jika sudah, pastinya anda telah 'dihidangkan' dengan pelbagai aksi seram dan kejutan dalam filem terbabit.
Tidak dinafikan elemen kejutan babak demi babak dalam filem terbaharu Annabelle ini agak menjadi.
Namun, tahukah anda terdapat seorang warga emas Britain meninggal dunia dalam sebuah panggung wayang di Thailand ketika menonton filem berkenaan?
Menurut laporan Sinar Harian, individu terbabit merupakan pelancong berusia 77 tahun dan sedang bercuti di Pattaya, Thailand.
Sejurus tayangan tamat dan lampu dinyalakan, seorang penonton yang duduk di sebelah warga emas terbabit menyedari mangsa telah pengsan.
Situasi di pawagam kemudian bertukar kecoh apabila ramai yang panik dengan kejadian terbabit.
Polis kemudian mengesahkan warga emas berkenaan telah meninggal dunia pada pukul 9 malam.
Sehingga kini masih tiada penjelasan lanjut tentang rekod kesihatan pelancong berkenaan.