SEORANG lagi bekas teman wanita Danny Masterson mendakwa dia telah dirogol pelakon Amerika Syarikat itu berulang-kali ketika mereka masih bersama.

Pelakon dan model, Bobette Riales dalam laman Twitternya berkata, dia dirogol oleh bintang 'That 70s Show' itu pada 2003.

Riales merupakan wanita kelima yang mendakwa Masterson melakukan salah laku seks.

"Saya sudah lama mendiamkan diri. Danny Masterson merogol saya berulang kali. Saya kini hendak keadilan supaya perkara ini tidak akan berulang kepada orang lain."


Beliau turut menyuarakan sokongan terhadap Chrisse Carnell Bixler yang merupakan antara wanita yang juga mendakwa menjadi mangsa Masterson.

Bixler, juga bekas teman wanita Masterson, mendakwa pelakon itu merogolnya pada 2001 ketika mereka bersama.

Bixler turut membalas tweet Riales sambil menyatakan bahawa dia amat bangga dengan tindakan Riales itu.


Kesemua lima wanita mendakwa Masterson, 41, merogol mereka sekitar awal 2000-an.

Namun hanya dua wanita ini yang tampil ke hadapan.