Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Disney, Michael Eisner, mencipta kontroversi apabila membuat kenyataan wanita yang cantik dan kelakar adalah agak mustahil untuk ditemui.

Eisner membuat kenyataan tersebut ketika ditemu ramah aktres Goldie Hawn pada Aspen Ideas Festival di Colorado, Amerika Syarikat, minggu lalu.

Dalam sesi bicara santai itu, Eisner berkata wanita yang cantik, selalunya tidak kelakar dan wanita yang kelakar, selalunya tidak cantik.


Kedua-dua kriteria itu, menurut Eisner, agak mustahil untuk ditemui dalam diri seorang wanita.

Eisner bagaimanapun meletakkan Hawn sebagai satu pengecualian kerana memiliki kedua-duanya; cantik dan kelakar.

Hawn membalas pujian Eisner dengan memberitahu, ia mungkin disebabkan dia sering merasakan dirinya tidak cantik, justeru dia cuba menarik perhatian orang ramai dengan menjadi kelakar.






Netizen nampaknya marah dengan dakwaan Eisner itu. Kata mereka, ramai wanita dalam industri hiburan khususnya, yang punya kedua-dua ciri itu.

Antara nama yang disebut mereka ialah Tina Fey, Amy Poehler dan Sandra Bullock.

Eisner pernah menerajui Disney selama 21 tahun, iaitu dari tahun 1984 hingga 2005.