Tidak pernah menang Anugerah Grammy, Backstreet Boys tidak merajuk
Agensi
Februari 1, 2019 09:49 MYT
Februari 1, 2019 09:49 MYT
BIARPUN mempunyai nama besar dengan rekod jualan album yang membanggakan, kumpulan pop antarabangsa popular era 90-an, Backstreet Boys (BSB), tidak pernah memenangi sebarang trofi dari Anugerah Grammy.
Tercalon buat kali kelapan dalam Grammy edisi ke 61 tahun ini, kumpulan yang dilabel boyband paling berjaya itu tidak menaruh harapan tinggi untuk menang.
"Satu penghormatan apabila masih dicalonkan dan bersaing dengan nama-nama baharu. Tetapi kami tidak berharap memandangkan sudah banyak kali kami kecewa.
"Kami tidak merajuk, tetapi definisi kemenangan adalah apabila kami masih bertahan sehingga ke hari ini. Untuk sebuah kumpulan teguh bersama selama 26 tahun, ia sesuatu yang boleh dibanggakan," kata salah seorang anggota BSB, Nick Carter, dalam temubual eksklusif bersama portal ET Canada.
BSB tercalon dalam kategori Vokal Pop Duo/Berkumpulan Terbaik menerusi lagu Don't Go Breaking My Heart yang merupakan single pertama dari album terbaharu mereka, DNA.
Peluang terbaik BSB untuk memenangi trofi berprestij industri muzik antarabangsa itu hadir 19 tahun lalu, apabila mereka menerima lima pencalonan menerusi album paling laris tahun 1999, Millenium.
Mereka bagaimanapun gagal membawa pulang sebarang trofi.
Anugerah Grammy ke-61 bakal berlangsung 10 Februari depan di Los Angeles.