Bront Palarae selaku watak utama dalam filem ‘Terbaik Dari Langit’ (TDL) mengakui dirinya berasa tertekan ketika membawa watak utama sebagai Berg untuk filem ini.

Kata Bront, dalam tekanan dirasakan dalam membentuk kerjasama dengan enam pelakon lain serta tuntutan watak itu sendiri.

“Tekanan lebih terasa apabila watak saya memerlukan chemistry dengan banyak watak dan kerisauan lebih ke arah bagaimana untuk menghasilkan dinamik dengan semua watak ini.

Juga ditambah dengan tekanan tuntutan watak dalam filem ini sendiri serta kejanggalan berlakon dengan Iedil Putra kerana saya tak biasa berlakon dengannya” katanya dalam temubual bersama Editor Digital Astro AWANI, Muzaffar Mustapa dalam Borak Filem Daily Seni.

Tambah Bront lagi, kejanggalan itu menjadi kerana itu salah satu jalan cerita dalam filem TDL.

Selain bersama Bront, temubual tersebut turut disertai oleh enam lagi watak penting iaitu Iedil (ijam), Amerul Affendi (Toyu), Megat Sharizal (Ali), Nadiya Nisaa (Sofia Jane), Sharifah Amani (Sara) dan Siti Saleha (Zelda).

Ikuti ‘Borak Filem: Terbaik Dari Langit’ bahagian satu bersama tujuh pelakon yang memaparkan cerita disebalik pembikinan filem ini.


Filem Arahan Nik Amir Mustapha dan skrip oleh Redza Minhat ini bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 25 Disember ini.

Diterbitkan oleh Playground Film dan Astro Shaw, filem itu mengisahkan seorang jejaka bernama Berg yang merancang sebuah pengembaraan bersama empat rakannya untuk mencari kebenaran mengenai kisah UFO.

Namun, di sebalik perjalanan yang jauh itu, mereka akhirnya menyedari sesuatu yang tidak pernah dijangkakan sebelumnya.

TDL turut menggunakan judul Nova untuk tayangan antarabangsa dan telah dipertandingkan dalam kategori Asian Future di Festival Filem Antarabangsa Tokyo pada 24 Oktober lalu.

IKUTI TRAILER FILEM TERBAIK DARI LANGIT DI SINI