PENGARAH filem Takluk: Lahad Datu, Zulkarnain Azhar menegaskan hanya menjadikan peristiwa di Lahad Datu sebagai inspirasi tanpa mengaitkan mana-mana pihak.

Ini bagi memastikan filem yang dibintangi Syafiq Kyle, Kamal Adli, Fikry Ibrahim, Anding Indrawani, Eman Manan, Riezman Khuzaimi, Josiah Hogan, Ayez Shaukat dan Mustaqim Bahadon itu bebas daripada kontroversi dan masalah lain di masa hadapan.

Zulkarnain - Foto Sinar Harian

Ujar Zulkarnain, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut memantau penghasilan filem berkenaan dan meletakkan beberapa syarat.

“Kita tidak buat ikut bahasa tertentu atau paparkan nama sebenar pengganas kerana tidak mahu menggores perasaan atau menimbulkan kemarahan mereka sehingga mencetuskan kontroversi.

"Antaranya perkara yang diingatkan adalah tiada satu pun bendera Sabah, sebarang bahasa negeri itu mahupun nama sebenar pihak musuh digunakan sepanjang pembikinan filem.

"Jadi kita hanya jadikan inspirasi daripada situasi berlaku, watak dan nama difiksyenkan, cuma gambaran situasi itu saja kami ikut gambaran sebenar,” katanya.

Zulkarnain berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Takluk: Lahad Datu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada Khamis.

Filem ini membabitkan kru belakang tabir dan pelakon tambahan yang ramai. - Foto Sinar Harian

Tambah pengarah yang sebelum ini menghasilkan J Revolusi dan Air Force: The Movie - Selagi Bernyawa itu, objektif utama penghasilan Takluk: Lahad Datu adalah sebagai tanda penghargaan buat semua wira yang yang berjuang mempertahankan negara.

“Kita tidak mahu mengagungkan tindakan penceroboh tapi mahu menghargai pengorbanan PDRM dalam mengatasi pengganas,” ujarnya.

Filem yang menceritakan semula kisah Krisis Pencerobohan Lahad Datu pada 2013, akan menemui penonton di pawagam tempatan mulai 22 Ogos ini.

Penggambaran filem ini telah dijalankan selama hampir dua bulan di Semporna dan Lahad Datu, Sabah serta sekitar Selangor. -- Sinar Harian