PELAKON tanah air Susan Lankester, meraih National Winner bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024.


Ringkasan AI
  • Susan Lankester meraih National Winner bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di AACA 2024 hasil lakonannya dalam filem Rain Town.
  • Susan akan bersaing dengan National Winners dari rantau lain di pusingan akhir pada 3 dan 4 Disember di Singapura.
  • Filem ini menyentuh tentang hubungan keluarga yang renggang dan pergelutan emosi, mengisahkan seorang bapa yang sering campur tangan dalam kehidupan peribadi tiga anaknya yang sudah dewasa.


Kemenangan itu susulan persembahan cemerlangnya sebagai Aileen Choo dalam filem Rain Town arahan Tunku Mona Riza.

Dalam perkongsiannya di Instagram, Susan, 62, menzahirkan ucapan terima kasih kepada rakan pelakon dan kru yang telah membantunya menjayakan watak sebagai isteri dan ibu kepada tiga anak dalam filem berkenaan.

"Terima kasih kepada The Choos - Chew Kin Wah, Pauline Tan, Wilson Lee dan Fabian Loo. Saya sayang anda semua.

"Dan terutama sekali, terima kasih tidak terhingga kepada RAINTOWN CREW kerana menjadikan filem ini seperti mana sepatutnya.

"Dan juga di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami di dalam dan luar set. Saya bangga dengan anda semua," tulis Susan.




Sementara itu, Susan dalam pesanan ringkas kepada Astro AWANI berkata dia akan bersaing dengan National Winners dari rantau lain di pusingan akhir pada 3 dan 4 Disember depan di Singapura.

Filem Raintown yang memaparkan tema perjuangan keluarga mendapat pujian kerana susur penceritaan dan persembahan para pelakonnya yang mantap.

Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat antaranya termasuk Chew Kin Wah, Pauline Tan, Wilson Lee, dan Fabian Loo.

Diterbitkan oleh Current Pictures Sdn Bhd, Rain Town menyentuh tentang hubungan keluarga yang semakin renggang dan pergelutan emosi ahlinya.

Filem ini mengisahkan tentang Choo, seorang bapa yang sering campur tangan dalam kehidupan peribadi tiga anaknya yang sudah dewasa, dan akhirnya membawa kepada konflik apabila isterinya Aileen, mengalami kemalangan.