TUAN dan Puan yang saya hormati,
Malam ini adalah milik tuan-tuan dan puan-puan, bukan malam orang lain. Selepas penganjuran acara kemuncak malam ini jadi seperti biskut — sekejap ada, sekejap tiada, akhirnya malam ini tuan-tuan dan puan-puan berhimpun juga bersama-sama di Putrajaya untuk meraikan kaum kerabat industri.

Lupakanlah sekejap semua cerita yang tidak baik yang tercatat antara festival sebelum ini sehingga festival yang berlangsung malam ini. Rayakanlah malam ini; malam yang sudah dicatatkan dan dibayangkan sebagai petanda masa depan yang lebih baik.

Industri filem kita tidak boleh terus riuh dengan cerita karut-marut yang tidak ada kena-mengena dengan seni filem. Biarlah tuan-tuan dan puan-puan sibuk memikirkan cara bagaimana untuk menghasilkan karya yang lebih baik dan bukannya habis masa dengan gossip atau penat berpolemik tentang politik.

Selepas sekian lama industri filem kita dilihat seperti hidup segan mati tidak mahu, percayalah, bahawa masih ada di kalangan kami — orang di luar industri — yang menyokong segala apa yang tuan-tuan dan puan-puan kerjakan. Masih ada orang yang datang ke pawagam, biarpun angkanya barangkali tidaklah begitu memberangsangkan.
Ambil saja 10 daripada 11 filem yang masuk panggung tahun ini saja, yang kutipan tiketnya sudah kita ketahui. Ada yang mencecahkan kutipan sampai lebih RM3 juta dan ada juga yang hanya sekitar RM500,000 sahaja.


Selera

Apa nak buat, selera orang tidak sama. Ada yang suka cerita aksi. Ada yang yang suka cerita hantu. Ada yang suka cerita cinta. Tuan-tuan dan puan-puan yang duduk dalam industri lebih tahu selera penonton kita.

Tetapi biarpun kutipannya tidak sebanyak yang diharapkan — atau produser yang membiayai modal pembikinan filem itu harapkan — tuan-tuan dan puan-puan jangan patah semangat. Jangan sama sekali mengalah. Ini resam industri.

Tuan-tuan dan puan-puan teruskanlah kerja. Buatlah yang terbaik dan yang terdaya. Teruslah berusaha meningkatkan daya diri — membaca sastera dan menonton filem-filem besar, tentunya. Hidupkanlah budaya ilmu dalam industri kita.

Kita faham, tuan-tuan dan puan-puan selalu sibuk — meluru dari satu set ke satu set; minggu ini penggambaran filem, minggu depan penggambaran drama TV dan di antara keduanya, hadir acara itu dan ini; belum masuk lagi sesi fotografi majalah dan akhbar.


Tulang belakang

Tetapi antara waktu lapang di set itu luang-luangkanlah masa untuk baca novel atau cerpen; tidak kisahlah karya tempatan atau antarabangsa; klasik atau terkini. Sastera itu tulang belakang bagi orang seperti tuan-tuan dan puan-puan — baik yang mengarah cerita, menulis cerita, melakonkan cerita, merakamkan cerita dan seterusnya.

Carilah masa juga berhimpun bersama kawan-kawan serta penggemar filem. Anjurkanlah acara tonton filem bersama, dan selepas itu duduk berbincang mengenainya dan melihat bagaimana orang industri macam tuan-tuan dan puan-puan di serata dunia membuat filem. Tidak payah tunggu Finas atau Aswara menganjurkannya; tuan-tuan dan puan-puan boleh buat sendiri.

Baik dengan membaca sastera atau menonton filem, tuan-tuan dan puan-puan akan memperkaya daya bercerita. Tuan-tuan dan puan-puan akan nampak semua cerita ada awal, tengah dan akhir — dan seperti kata pengarah filem dari Perancis, Jean-Luc Godard, ketiga-tiga hal itu tidak semestinya berturut. Tuan-tuan dan puan-puan juga akan sedar bahawa asas cerita itu adalah yang itu, itu juga — tentang manusia dengan manusia; manusia dengan masyarakat; manusia dengan alam dan manusia dengan dirinya sendiri.


Mesej

Tidak kisahlah cerita apa, formulanya sama. Malah, saya percaya tidak ada penulis cerita yang tidak menggunakan formula yang dicatatkan oleh tokoh Aristotle dalam tulisannya, Poetic.

Kenang-kenanglah juga apa yang pernah dikatakan oleh produser terkenal dari Amerika Syarikat, Samuel Goldwyn: "Filem adalah untuk hiburan. Mesej itu kerja Western Union." Pesan Goldwyn itu selalu dipetik oleh pengarah U-Wei Haji Saari apabila orang bertanya apakah mesej filemnya. "Aku bukan posmen," kata U-Wei.

Kami tidak pernah meminta tuan-tuan dan puan-puan menyampaikan apa-apa pesan yang besar-besar. Kami hanya mahukan cerita yang baik. Kerja pesan-memesan itu, tidak mengapa, biarlah tinggal di mimbar khutbah atau serahkan kepada posmen.

Selebihnya, janganlah gundah dan gulana kalau tak ada produser mahu membiayai idea tuan-tuan dan puan-puan. Produser itu matematiknya untung dan rugi. Tuan-tuan dan puan-puan adalah tukang cerita. Kukuhkanlah cara bercerita; duitnya Insya-Allah akan ada.

Lagi pula, produser dan dana ada di serata dunia. Siapa yang menghukum tuan-tuan dan puan-puan hanya boleh berkarya di gelanggang sendiri? Melompatlah ke luar gelanggang; masuklah ke padang yang lebih luas — dunia antarabangsa.

Surat pendek ini sudah jadi terlalu panjang. Kalau ada yang menyinggung dan mengecilkan hati, saya mohon maaf dari hujung rambut sampai ke hujung kaki — tidak terlintas niat dalam hati untuk berbuat begitu kepada orang seni seperti tuan-tuan dan puan-puan. Surat ini hanya untuk ikut meraikan malam bermakna dalam industri tuan-tuan dan puan-puan.
Ikhlas,

(t.t)

Noor Azam Shairi
Kuala Lumpur