CERITA yang akan saya dedahkan ini terlalu peribadi. Namun bila sampai satu ketikanya yang paling tepat, saya perlu ceritakan agar cerita ini dapat memberikan manfaat kepada semua. Kalau pun hanya seorang sahaja yang baca cerita saya ini, ia tetap memberikan saya satu kepuasan dan ia sangat bermakna untuk saya.
Saya hanyalah seorang budak yang simpan impian mahu menjadi seorang penghibur, bermimpi untuk jadi seorang penyanyi. Itu wawasan yang saya pegang. Alhamdulillah, impian itu akhirnya menjadi kenyataan. Saya telah menang pelbagai anugerah.
Saya berpeluang menjelajah dunia, bertemu pelbagai wajah yang cukup menenangkan. Semuanya teratur lancar, yang dirancang semuanya menjadi. Walaupun tidaklah sebaik sebagaimana yang dirancang, kerana ada masa turun dan ada masa naiknya.
Kejutan pertama yang buat saya tersentak bila pengurus saya, yang kita semua panggil Kak Anne diserang strok. Peristiwa tidak disangka itu berlaku beberapa tahun lalu.
Kak Anne ialah sepupu saya. Sejak saya tersingkir dari Akademi Fantasia, semua urusan yang melibatkan kerjaya seni saya diuruskan oleh Kak Anne. Lama. Sangat lama. Lebih 5 hingga 6 tahun. Kak Anne yang uruskan segala-galanya dan tiba-tiba dia diserang strok.
Dua tahun selepas itu, sekitar penghujung 2017, ayah pula diserang penyakit yang sama. Ayah pernah diserang strok sebanyak 3 kali sebelum itu yang semuanya tidak begitu kritikal. Namun, serangan kali keempat ini benar-benar sesuatu yang amat berat untuk ditanggung ayah.
Ayah tinggal dengan saya. Sewaktu serangan ketiga berlaku awal tahun itu, saya ditugaskan untuk menjaganya. Saya akan siapkan dan pastikan ayah telan setiap biji pil mengikut waktu. Itu sebabnya saya lebih tenang bila ayah tinggal bersama saya dan abang saya di Damansara.
Sewaktu serangan keempat terjadi, ayah seorang diri di rumah. Saya keluar dan abang saya, Amar pun tiada di rumah. Itulah kali pertama ayah tinggal seorang diri di rumah.
Saya masih ingat lagi pagi itu sebelum saya keluar dari rumah, saya pandang wajah ayah. Saya nampak ayah sedang berehat di ruang tamu. Sebelum saya melangkah keluar, saya sahut kepadanya dan berkata, “Ayah, Aizat gerak dulu tau, pergi Kuantan ada show.”
Tapi ayah diam tidak menjawab. Senyap sama sekali. Saya tergerak hati memikirkan aksi pelik ayah.
“Mungkin ayah tidur,” saya bergegas keluar dari rumah dan bergerak ke Kuantan.
Lewat hari yang sama, saya dapat panggilan telefon dari abang. Saya angkat. Saya dengar suara abang dengan tenang meneruskan ayatnya, “Ayah kena strok.”
Abang pulang ke rumah dan nampak ayah terbaring di lantai tidak bergerak, kaku tidak memberikan sebarang reaksi dan dikelilingi bekas air kencing yang telah kering.
Kami rasa mungkin ayah telah lama terbaring di lantai. Saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur sementara ahli keluarga saya bertungkus-lumus menyiapkan ayah untuk dihantar ke hospital.
Otak saya buntu, dah tak boleh fikir apa. Sebahagian daripada diri saya mula menyalahkan diri sendiri.
“Kau sepatutnya dah perasan dah tadi,” sementara sebahagian lagi diri saya mahu sahaja terbang terus ke Kuala Lumpur. Kakak saya pesan agar jangan salahkan diri sendiri hanya kerana saya tiada di rumah sewaktu insiden itu terjadi.
Benda kalau sudah nak jadi, bukan boleh ditahan-tahan, saya cuba pujuk hati saya. Bila saya tiba di hospital, saya nampak ayah tidak bercakap. Mata ayah melilau memerhati sekeliling dan ada ketika pandangannya nampak resah.
Yang paling saya risaukan hanya bila waktu ayah tiba untuk pergi, ayah pergi dalam keadaan yang tidak tenang. Saya tak mahu. Saya berdoa andainya inilah harinya, biarlah dalam keadaan yang tenang. Ketika tidurnya, mungkin. Asalkan bukan dalam keadaan yang meresahkan begini.
Selepas serangan itu, ayah tidak mampu berdiri, tidak mampu bercakap. Hanya bahagian kiri tubuhnya yang berfungsi. Berlaku pendarahan di bahagian kiri otak ayah. Satu saluran darah pecah dan wujudnya darah beku dalam otak ayah. Seluruh bahagian kanan tubuh ayah lumpuh keseluruhannya.
Sebelum hari itu, saya jarang sekali menghabiskan masa bersama ibu dan ayah saya. Mereka berpisah masa saya masih kecil lagi. Walaupun mereka telah berpisah, mereka tetap bersama-sama memberikan sokongan untuk saya.
Selepas berpisah, ayah tidak ada banyak urusan lain dalam hidupnya. Ayah tidak bekerja. Masa ayah lebih banyak diisi dengan anak-anak. Ayah selalu datang tengok persembahan saya. Kadang-kadang, ayah akan jadi soundman. Masa saya tengah bersiap-siap, saya nampak ayah siap dengan headphones di belakang pentas dengan krew teknikal.
“Hmmm...sedap sedap, naikkan volume vokal sikit!” Ayah beri arahan.
Memang seronok waktu itu bila memikirkan bagaimana menerusi muzik saya dapat merapatkan jarak saya dengan ayah.
Antara saya dengan ayah memang banyak perbezaannya. Minat kami lain-lain. Saya suka bola sepak, ayah suka badminton. Saya suka jogging, ayah suka berenang. Ada saja yang tak kena. Bila waktu ayah sihat dulu, dia akan ikut saya ke lokasi persembahan.
Waktu itulah saya dapat rasa yang kami tidaklah begitu rapat dan serasi. Saya dapat rasa yang ayah lakukan semua itu kerana ayah perlu melakukannya dan memastikan semuanya berjalan dengan lancar. Saya pun boleh kata apa lagi.
“Hmmm...nak ikut pun ikutlah. Takkanlah saya nak kata NO pada ayah sendiri?”
Beberapa minggu di hospital kami sekeluarga ambil giliran menjaga ayah. Shift separuh hari dibahagikan antara kami adik-beradik. Seorang satu shift, setiap 6 jam bertukar ganti. Itulah peluang untuk kami menghabiskan masa dengan ayah. Ayah tidak bercakap dan berikan reaksi pun. Kami jadi penunggu setia untuk ayah. Pandang wajah ayah puas-puas selagi ada masa yang Allah pinjamkan. Kami jadi peneman untuk ayah bagi memastikan semua makan pakai berak kencingnya ada yang jaga.
Segala waktu panjang yang dihabiskan di hospital itu beri kami masa untuk kembali menilai diri sendiri. Saya sedar yang segalanya tidak akan kembali seperti dahulu. Sekurang-kurangnya untuk ayah. Masa itulah saya tersedar...yang selama ini saya belum cukup menghabiskan masa untuk bersama ayah. Betapa kurangnya masa yang saya luangkan untuk bersama ayah.
Sampai sekarang saya masih lagi terasa akan khilaf itu. Bila saya akhirnya tersedar yang saya tidak akan mendapat semula ayah yang seperti dahulu, ayah yang tidak jemu berkongsi kata-kata nasihat dan jenaka-jenaka yang tidak melucukan, saya mula terasa akan kehilangan itu. Pada waktu sama, saya perlu redha dengan takdir yang telah ditentukan Allah.
Untuk mengharungi dugaan ini, saya mula mencari maklumat mengenai penyakitnya. Saya baca artikel mengenai strok, bagaimana menjaga pesakit stroke dan berbual dengan jururawat yang saya temui di hospital.
Waktu itu ayah di wad Hospital Kuala Lumpur. Jururawat di hospital itu sangat membantu. Mereka ajar kami bagaimana untuk menukar lampin, tukar posisi katil dan pelbagai lagi perkara-perkara yang kami sendiri tidak pernah jangka.
Segalanya menjadi mudah untuk kami. Di mata kami, jururawat di hospital itu ibarat malaikat.
Untuk kami berenam adik beradik, itulah kali pertama kami terdedah dengan persekitaran baru itu. Sangat baru dan kami tidak tahu apa-apa langsung. Itulah kali pertama kami lihat ayah dalam keadaan sebegitu. Kami cuci kencing dan berak ayah.
Kami suap ayah makan. Kami betulkan kedudukan katil ayah. Semuanya kami belajar untuk menyesuaikan diri kami. Kami sentiasa terperangkap dalam situasi sejak penceraian tersebut dan insiden ini sekali lagi menjadi peringatan untuk kami terus berpaut erat dan saling menyokong antara satu sama lain.
Alhamdulillah, 5 bulan berlalu sejak hari tersebut. Kami telah berpindah sebanyak 2 hospital dan kini ayah berada di rumah. Saya pula sudah berpindah dari kediaman di Damansara dan kembali ke Ampang. Kami kini tinggal di sebuah apartment bersama-sama dengan ayah saudara.
Anak perempuannya, Kak Anne yang juga pernah diserang stroke dan bekas pengurus saya dulu pun tinggal di apartment sama. Kami tinggal di blok yang sama.
Alhamdulillah, Kak Anne juga semakin pulih. Dulu Kak Anne tidak mampu bercakap, berbeza sekarang bila dia sudah boleh bercakap. Dia sudah mampu berdiri dan berjalan walaupun tidaklah segagah dahulu. Dia menjalani proses pemulihan di Hospital Rehab Cheras, sebuah institusi yang cukup terkenal dengan program rehab kelolaan mereka.
Saya adik-beradik hanya mahukan ayah berada dalam persekitaran yang dapat membantunya untuk pulih dengan segera dan berpindah untuk duduk bersama-sama adalah jalan yang terbaik. Kami hanya mahukan mereka berdua berada berdekatan dan jika apa-apa berlaku, senang kemudian hari.
Lebih buat saya bersyukur bila saya tahu yang saya miliki sebuah keluarga yang akan saling menyokong dan membantu bila masing-masing berada dalam kesusahan.
Saya sifatkan penyakit yang menimpa ayah seperti satu blessing in disguise. Ia satu rahmat yang telah menyatukan dan menguat erat keluarga kami dan saya akhirnya diberikan satu lagi peluang untuk menghabiskan masa yang lebih banyak untuk bersama dengan ayah.
Saya adik-beradik hanya berharap agar ayah kembali pulih seperti sediakala. Kami mahu ayah mula sedar akan keadaan sekelilingnya. Setakat ini doktor memberikan harapan yang positif untuk ayah pulih sepenuhnya. Saya pula semakin tekun mendidik diri sendiri tentang penyakit stroke dengan menonton video di YouTube dan membaca. Walaupun merangkak-rangkak, InsyaAllah semuanya akan berjalan dengan lancar.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh tenaga kerja perubatan, baik doktor mahu pun jururawat di Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang Puteri dan Hospital Rehab Cheras terutamanya yang bertugas di Jabatan Neurologi. Kalau boleh saya mahu senaraikan setiap nama mereka yang secara mengejut hadir dalam hidup saya.
Mereka telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan cemerlang termasuk menjadi guru kepada kami adik-beradik. Bukan hanya petugas perubatan di hospital-hospital itu, malah pesakit yang berada berdekatan dengan wad ayah turut menghulurkan sokongan mereka.
Ayah berada di wad terbuka dan secara tidak langsung saya berpeluang untuk berbual dengan keluarga pesakit-pesakit lain. Ada ketikanya mereka membantu keluarga kami dan ada ketikanya kami membantu keluarga mereka. Saya terharu melihatkan bagaimana utuhnya perpaduan dan saling menyokong antara satu sama lain.
Mana ada orang yang suka pergi ke hospital? Kesabaran petugas perubatan di hospital sewaktu menjaga pesakit yang kadang-kadang degil sangat dihargai. Bukan sahaja pesakit yang degil, malah keluarga pesakit pun boleh tahan degil juga.
Sangat terpuji! Saya sangat berterima kasih kepada seluruh tenaga jururawat yang sentiasa sabar dan berhati-hati sewaktu mengendalikan pesakit-pesakit dan keluarga mereka. Saya berjanji tidak akan memandang rendah status mahupun peranan mereka yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada kita. Kita wajib menghormati kakitangan awam seperti mereka.
Saya lalui satu fasa kehidupan baru ini seperti robot dalam mode autopilot. Satu perkara yang saya perlu jelaskan pada diri sendiri adalah saya tidak akan cepat putus asa. Saya tidak boleh cepat mengalah. Ia bukan penamat untuk sebuah kehidupan. Saya akan orak langkah berhati-hati, belajar setiap perkara baru satu-persatu.
Bila bangun pagi setiap hari, saya hanya perlu lakukan. Just do it! Bangun pagi. Pergi hospital. Mandikan ayah. Terima segala takdir ini. Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Ini peluang saya untuk melakukan yang terbaik walau sekecil mana pun tugas tersebut.
Bila sudah biasa melakukannya, pasti saya akan lakukannya dengan hati yang tenang tanpa wujud perasaan seperti dipaksa.
Lagipun apa yang saya lakukan ini adalah untuk ayah. Apa lagi yang mampu untuk dilakukan oleh seorang anak untuk ayahnya selain berbakti kepadanya sementara ayah masih ada. Saya yakin setiap pengalaman yang saya lalui hari ini akan memberikan manfaat kepada saya di masa depan. Saya hanya perlu hadapinya, dalaminya dan belajar satu-satu.
SAYA bersyukur, setelah apa yang saya lalui selama ini hanya pada hari ini saya memberanikan diri saya untuk mengumpul kekuatan dan mendedahkannya kepada umum.
Hari ini saya tidak lagi menganggap ia sebagai satu tragedi lagi. Semua yang berlaku ada sebabnya. Allah mahu menguji kami sekeluarga. Allah tidak akan menguji hambaNya dengan beban yang tidak mampu ditanggung oleh mereka.
Sekiranya satu hari nanti kau ditimpa sesuatu bala atau bencana, hadapilah dengan tenang, satu persatu. Tarik nafas panjang-panjang. Tenang.
Jangan sesekali anggap ia satu hukuman. Setiap satunya ada hikmah yang tersendiri. InsyaAllah, ada cahaya terang menanti di penghujung terowong yang gelap. Di sebalik setiap gelap suram hidup kita, pasti ada terang sinar yang menanti agar kita terus ingat kepadaNya.
Aizat Amdan
Fri Mar 02 2018
Aizat: 'Sangat baru dan kami tidak tahu apa-apa langsung. Itulah kali pertama kami lihat ayah dalam keadaan sebegitu.' - Foto ICA Aizat Amdan
Piala ASEAN 2024: Vietnam mara ke final, tewaskan Singapura agregat 5-1
Rafaelson Fernandes muncul wira Vietnam apabila meledak jaringan berganda untuk membantu pasukan mara ke pentas akhir kejohanan berprestij itu.
Presiden Azerbaijan dakwa Rusia bertanggungjawab
Presiden Azerbaijan, Ilham Aliyev secara terbuka mendakwa Rusia telah menembak pesawat penumpang Azerbaijan Airlines J2-8243 pada 25 Disember lepas, menyebabkan ia terhempas.
Media tempatan Azerbaijan melaporkan, Aliyev membuat dakwaan tersebut sewaktu ditemuramah di Lapangan Terbang Baku
Media tempatan Azerbaijan melaporkan, Aliyev membuat dakwaan tersebut sewaktu ditemuramah di Lapangan Terbang Baku
Kelantan,Terengganu dan Sabah dilanda banjir
Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk dengan peningkatan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kedua-dua negeri itu kembali dilanda bencana tersebut pada Ahad.
Berdasarkan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 18 pps dibuka di tiga daerah di Kelantan manakala Terengganu terpaksa membuka semula 16 PPS di dua daerah.
Berdasarkan portal info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 18 pps dibuka di tiga daerah di Kelantan manakala Terengganu terpaksa membuka semula 16 PPS di dua daerah.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 29 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Ahad, 29 Disember 2024.
Festival Citrawarna Kampong Bharu tarik pelancong dekati nilai sejarah
Festival anjuran OMNI Holdings Sdn Bhd yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lepas itu menampilkan pelbagai aktiviti menarik.
China perkenal prototaip kereta api terpantas di dunia
Prototaip kereta api laju CR450, yang mampu beroperasi pada kelajuan 400 kilometer sejam (km/j), diperkenalkan di Beijing pada Ahad, menurut pengendali kereta api negara itu.
Kapal persiaran mega buatan China terima 600,000 pelancong
Kapal persiaran mega pertama China, Adora Magic City telah menyelesaikan 84 pelayaran dan menerima 600,000 pelancong pada tahun pertama operasi komersialnya, menurut Kastam Shanghai
Mayat 24 warga Azerbaijan dibawa pulang
Mayat 24 warga Azerbaijan yang terbunuh dalam nahas pesawat Azerbaijan Airlines (AZAL) berhampiran Aktau, Kazakhstan telah dibawa pulang ke ibu negara Baku, lapor media tempatan.
Taiwan tutup 14 sekolah pada 2024
MOE mendedahkan bahawa 14 institusi itu terdiri daripada sembilan sekolah rendah, sebuah sekolah menengah rendah dan empat institusi pengajian tinggi.
COVID-19: Tolong duduk di rumah! - Selebriti tempatan ajak rakyat Malaysia prihatin keadaan semasa
Selebriti tanah air ajak rakyat segenap lapisan supaya menuruti gesaan kerajaan agar duduk di rumah bagi membantu bendung COVID-19.