MODEL dan pelakon Sandra Lim menepati ramalan selepas dinobatkan Miss Universe Malaysia 2024 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.

Graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi itu mengetepikan 15 finalis lain bagi merebut mahkota kemenangan.

Selain Sandra yang bergelar juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga Miss Universe Malaysia 2024 jatuh kepada Gianna Tan dan Temara Inigo.

"Segalanya berlalu dengan begitu pantas. Saya, Sandra Lim, adalah Miss Universe Malaysia 2024 yang baru.

"Sukar untuk menggambarkan perasaan saya sekarang, namun saya bersyukur. Saya memutuskan untuk menyertai Miss Universe Malaysia dengan sepenuh hati dan jiwa, berserah kepada tuhan sepenuhnya. 

"Saya berharap ketekunan dan keazaman saya dalam mencipta perubahan dapat memberi inspirasi kepada anda untuk memperjuangkan impian anda.

"Ini juga merupakan pencapaian besar bagi saya, di mana saya bersaing sebagai diri sendiri dan dengan diri sendiri. Saya telah belajar banyak hal tentang ketahanan, persahabatan, dan komitmen sepanjang proses ini," tulisnya menerusi hantaran khas di Instagram.

Selain Sandra yang bergelar juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga Miss Universe Malaysia 2024 jatuh kepada Gianna Tan dan Temara Inigo. - Gempak

Dalam pada itu, Sandra turut menyatakan penghargaan buat juara-juara terdahulu yang menjadi inspirasi buatnya.

"Kepada semua ratu dan wanita luar biasa yang telah mendahului saya, terima kasih kerana menginspirasi saya dalam pelbagai cara.

"Sandra tak sangka akan mendapat sokongan sebegini sejak dari awal lagi. Sandra terharu, teruskan menyokong perjalanan kami bersama @missuniversemalaysia menuju ke pertandingan antarabangsa!" tambahnya.


 
Kemenangan gadis cantik berusia 23 tahun itu sekali gus menyaksikan Sandra sekali lagi bakal mewakili negara ke peringkat antarabangsa untuk Miss Universe ke-73 yang diadakan di Mexico pada November nanti.

Sebelum ini, beliau pernah mengharumkan nama Malaysia selepas meraih gelaran naib juara pada Miss Global 2022 di Indonesia.

Sedikit info tentang Sandra, nama penuhnya adalah Sandra Lim Shue Hui. Kini bergelar peragawati, pelakon dan hos, dia merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa daripada City University dan merupakan penerima anugerah kecemerlangan pelajar ketika majlis graduasi.

Imbas kembali, kali terakhir wakil Malaysia yang berjaya bergelar semi-finalis di pentas Miss Universe adalah pada tahun 1970 menerusi perwakilan Josephine Lena Wong.

Sehingga kini, sudah lebih 53 tahun nama Malaysia tidak bergema di pentas Miss Universe apabila saban tahun wakil Malaysia gagal menempatkan diri mereka. -- Gempak