Industri kreatif antara sektor yang terkesan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan COVID-19.

Bagaimanapun, kerajaan telah membenarkan karyawan tempatan untuk kembali mengadakan penggambaran filem, drama, iklan dan sebagainya sejak 10 Jun lalu.

Sekalipun berhadapan dengan halangan termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang diarahkan oleh kerajaan, namun bagi pengarah drama, Hadith Omar optimis, garis panduan itu tidak akan menjejaskan karyanya secara keseluruhan.

Menurut Hadith, apa yang paling utama ialah, dia dan seluruh kru produksi memberi fokus pada kerjaya masing-masing, namun dalam masa sama menjaga aspek kebersihan.

"Memang kita berdepan dengan beberapa halangan terutamanya arahan penjarakan sosial dan kami perlu mengurangkan jumlah kru serta menitikberatkan kebersihan.

"Setakat ini hanya bahagian tatarias akan berkontak rapat dengan pelakon dan kami akan terus mengikuti SOP yang ditetapkan dan ia tidak akan menjadi masalah besar buat kami," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Ketika ditanya tentang adegan yang memerlukan sentuhan, Hadith menjelaskan, adegan tersebut tidak akan dilakukan dan ia tidan akan mengganggu penceritaan yang disediakan.



"Pada saya sekatan tidak boleh menyentuh antara satu sama lain itu tiada akan mengganggu penceritaan sangat sebab selama ini saya juga pernah bekerja dengan para pelakon yang menjaga batas muhrim.

"Pada saya, sebagai pengarah perlu lebih kreatif untuk potray babak tersebut dengan cara lain dan saya merasakan ia tidak memberi sebarang masalah untuk mengelakkan adegan bersentuhan ini," jelasnya.

Hadith pada masa sama turut meluahkan kelegaan selepas dibenarkan kembali beroperasi dengan melakukan sesi penggambaran kerana ia memberi nafas lega kepada pemain industri yang tejejas dari segi pendapatan susulan pelaksanaan PKP.

Dia turut berharap, dengan kebenaran yang diberikan ini pemain industri akan lebih kreatif untuk menghasilkan karya berkualiti walaupun terdapat sekatan.

"Ini bukan alasan untuk buat kita kerja yang cincai, saya berharap semua yang terlibat dalam industri ini perlu memberikan 110 peratus dalam penghasilan karya selepas mendapat peluang ini," ujarnya lagi.