PEMENANG anugerah Wall Of Fame Gempak Most Wanted 2022, Sofyank merancang untuk membuka syarikat produksinya sendiri yang menumpukan sepenuhnya kepada teknik kesan visual khas (VFX).


Fokus bidang kesan visual khas

Sofyank atau pemilik nama sebenar Mohamad Sofian Abdullah berkongsi ketika ini dia sedang mencari individu yang mempunyai kemahiran yang sama di dalam bidang kesan visual khas.


“Buat masa sekarang ini saya sedang mencari individu yang boleh buat apa yang saya buat, maksudnya di dalam bidang VFX ini. Saya juga sudah menghubungi beberapa orang.

“Apabila sudah tiba masa dan mempunyai bajet yang mencukupi saya akan buka syarikat produksi.

"Saya akan perlahan-lahan buka syarikat tersebut tapi saya tak akan buka syarikat yang besar.

“Mungkin akan mulakan dengan konten yang lebih berkualiti daripada yang sebelum ini.

"Kemudian hasilkan filem pendek dan barulah ke produksi yang lebih besar,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah TikTok Awards Malaysia 2024 baru- baru ini.

Selain itu, Sofyank juga terbuka untuk menerima sebarang tajaan bagi menghasilkan karyanya.

Namun, Sofyank akan menilai terlebih dahulu mana-mana pihak yang ingin menjalinkan kerjasama bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

“Untuk menghasilkan filem yang besar, kami terbuka untuk menerima penaja kerana ia akan menggunakan kos yang tinggi.

“Kami sedang bertukar idea dan menilai kebolehan masing-masing. Antaranya adalah dengan seorang individu yang pernah melibatkan diri dengan pembikinan filem antarabangs,” ujarnya lagi. -Gempak