PENYANYI Siti Saida Tarudin atau Saida telah bergelar isteri buat kali ketiga selepas melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihan hatinya dikenali Aizal pada Ahad.

Sebelum ini, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.

Kemudian, Saida berkahwin dengan seorang ahli perniagaan, Hafizh Che Mat pada 2016.


Perkhabaran gembira mengenai pernikahan Saida telah dikongsikan adik kesayangannya yang juga penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi akaun rasmi Instagramnya.

“Alhamdulillah, selesai sudah majlis pernikahan kakak kesayangan saya Siti Norsaida Tarudin bersama pasangannya.

“Doa adikmu agar bahagia hingga ke Jannah.

"Terima kasih suamiku hadir bersama walaupun Subuh tadi dah keluar menyertai pertandingan kayuhan lasak MTB di Putrajaya.

"Love you darling,” tulis Siti Nurhaliza di Instagram.

Sewaktu majlis berlangsung Siti Nurhaliza juga turut merakamkan beberapa perkongsian di Instagram Story.

Kelihatan Saida begitu anggun mengenakan gaun kembang berwarna putih, manakala suaminya segak memakai sut bercorak warna hitam.

Bukan itu saja malah tetamu juga turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada anak saudaranya iaitu anak Siti Sairah, Ummi Umairah.


Sumber: Instagram CTDK

*Artikel asal di Mingguan Wanita