KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana mengakui sidang media bersama wartawan bagi menjawab isu berhubung sesi Instagram Live yang dibuat lima individu termasuk penyanyi Lan Solo dan Syura, menjadi punca perkara itu tular.

Hal itu diakui Siti Nordiana sendiri ketika menjawab pertanyaan peguam defendan, Nurul Hafidzah Hassan, pada hari kedua perbicaraan kes saman fitnahnya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini, lapor Kosmo!.

Nurul Hafidzah bertanyakan Siti Nordiana mengenai jumlah rating selepas sidang media pada 23 Julai lalu.

Penyanyi berusia 37 tahun itu juga bersetuju dengan cadangan soalan peguam bahawa sesi IG Live itu tidak tular sebelum sidang media berkenaan.

BACA: Fitnah di Instagram: Siti Nordiana fail saman 5 individu termasuk 2 penyanyi

Hari ini merupakan kali kedua bicara kes saman fitnah itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Zulqarnain Hassan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 Januari 2022 untuk sambung bicara.

Siti Nordiana atau nama sebenarnya Siti Nordiana Alias, memfailkan saman menerusi menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, dengan menamakan Lan dan isterinya Nur Sheila, serta Syura, 35, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Turut dinamakan sebagai defenden ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.