Selepas perkahwinan rahsia Brad Pitt dan Angelina Jolie, kini giliran bintang Hollywood George Clooney mengahwini kekasihnya, Amal Alamuddin menggamit perhatian dunia.

Clooney dan Amal telah menjalinkan hubungan sejak Oktober 2013 sebelum mengikat tali pertunangan pada April lepas.

Majlis perkahwinan yang diadakan secara tertutup pada Sabtu itu telah diadakan di bangunan Palazzo Cavalli Venice, yang terletak berhadapan dengan terusan terkenal Itali, Grand Canal.

Siapakah Amal Alamuddin? Profilnya jauh sekali punya kena mengena dengan dunia glamor Hollywood.

Amal, atau nama sebenarnya Amal Ramzi Alamuddin, 36, berketurunan Arab-Lubnan merupakan seorang peguam hak asasi dan undang-undang antarabangsa tersohor di Britain.

Antara anak guam yang pernah diwakilinya adalah pengasas Wikileaks Julian Assange dan bekas Perdana Menteri Ukraine, Yulia Tymoshenko.

Sebelum ini timbul laporan yang ditulis oleh Daily Mail yang mengatakan ibunya, Baria Alamuddin yang merupakan editor antarabangsa untuk akhbar Al Hayat tidak merestui perkahwinan mereka kerana perbezaan agama.

Dikatakan, Amal pengikut agama ortodoks Druze di Lubnan yang merupakan sebuah fahaman atau agama pecahan dari fahaman Syiah Ismailiyah pada zaman era Kerajaan Fatimiyyah pada abad ke-10.

GALERI FOTO PERKAHWINAN GEORGE CLOONEY DAN AMAL ALAMUDDIN


Amal Ramzi Alamuddin
Amal Ramzi Alamuddin, 36 berketurunan Arab-Lubnan merupakan seorang peguam tersohor di Britain - Foto AFP

Namun, Clooney pada Julai telah tampil menafikan laporan berkenaan kepada USA Today dan berkata ibu mertuanya bukan beragama Druze dan laporan Daily Mail adalah tidak benar.

Manakala menurut laporan People Magazine, bapanya Ramzi Alamuddin bekas profesor dan bekas Naib Presiden Universiti Amerika di Beirut berkata beliau tiada masalah dengan perkahwinan tersebut dan mereka sekeluarga amat gembira dengan perkahwinan anaknya.

Ramzi juga berpendapat Clooney adalah seorang yang ‘cool’ dan sangat menyintai Amal.

Selain peguam, Amal juga sangat dikenali sebagai seorang wanita cantik yang bijak selain seorang aktivis dan juga penulis.

Amal pernah bertugas sebagai penasihat bagi Setiausaha PBB Kofi Annan untuk isu konflik di Syria serta pensyarah undang-undang jenayah di Universiti London.

Clooney dan Amal bertemu di dalam satu perbincangan mengenai program satelit di Syria.

Ini merupakan perkahwinan kedua bagi Clooney dan yang pertama bagi Amal.

Clooney sebelum ini pernah berjanji untuk tidak berkahwin lagi setelah berpisah dengan Tali Balsam pada tahun 1993 nampaknya gagal mengotakan janjinya.

Antara selebriti Hollywood yang hadir di perkahwinan mereka adalah pasangan Brad-Angelina, Bill Muray, Bono U2, editor majalah Vogue Anna Wintour, Cindy Crawford, Sandra Bullock, Julia Roberts, Matt Damon dan ramai lagi.