Kumpulan muzik popular Indonesia, Sheila On 7 bakal mengadakan konsert bersempena ulang tahun ke-20 penubuhan dan penglibatan mereka dalam industri muzik.
Kali terakhir membuat persembahan di Malaysia pada 2013, Konsert 20 Tahun Sheila On 7 bakal diadakan di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall, Kuala Lumpur pada 27 Mac 2016.
“Kami menyasarkan kehadiran seramai 7,000 hingga ke 10,000 orang pengunjung ke konsert tersebut. Setakat ini, jualan tiket amat memberangsangkan dan mendapat respon positif. Noh Salleh dan Restoe Ibu Band akan membuka konsert tersebut,” kata Rezuan Ramli, Pengarah Urusan Mawlaya Network Sdn. Bhd selaku penganjur konsert.
Mengulas mengenai pemilihan lokasi konsert, Rezuan menjelaskan yang StarXpo Hall, KWC Fashion Mall merupakan tempat yang sangat strategik kerana ia berada di tengah-tengah Kuala Lumpur.
“Pada awalnya, konsert ini mahu diadakan di Stadium Negara. Namun begitu, atas beberapa isu yang tidak dapat dielakkan, tempatnya ditukar. Kami memilih StarXpo Hall, KWC Fashion Mall kerana lokasinya yang terletak di tengah-tengah bandar.
“Fasiliti dan persekitaran yang ada di StarXpo Hall, KWC Fashion Mall memudahkan penonton untuk hadir kerana ianya dekat dengan kemudahan pengangkutan awam seperti bas, LRT dan sebagainya. Tempat letak kereta juga banyak tersedia di sana,” katanya lagi.
Bakal berlangsung selama dua jam setengah, Sheila On 7 bakal menyampaikan seleksi lagu popular mereka dari album pertama sehingga album terkini.
Dapatkan tiket Konsert 20 Tahun Sheila On 7 di cawangan Rock Corner dan Victoria Music di Sungei Wang, Amcorp Mall, Tropicana Mall, The Curve, Mid Valley dan Subang Parade. Tiket juga boleh dibeli secara atas talian di laman web www.ilassotickets.com.
Tiket dijual dengan harga RM75, RM110, RM150 dan RM190. Potongan harga sebanyak 10% untuk pelajar melalui belian secara terus di cawangan yang telah ditetapkan dengan menunjukkan kad pelajar sahaja.
Teks oleh: Kamaruddin Razal