BINTANG pop Justin Bieber nampaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan drastik demi menjaga hati teman wanitanya, Sofia Ritchie.

Baru beberapa jam yang lalu, Bieber menutup akaun Instagramnya selepas drama yang membabitkan Ritchie dengan para peminatnya.

Bukan sekadar peminat, malah bekas kekasih Bieber, penyanyi Selena Gomez, turut masuk campur dalam kekecohan itu.

Bieber sebelum ini ada memberi amaran kepada peminatnya agar menghormati Ritchie. Jika tidak, dia tidak akan teragak-agak untuk memprivasikan akaun Instagramnya.

Kata-kata itu ditunaikan apabila Bieber berbuat demikian pada malam Isnin, sebelum kemudian menyahaktifkan akaun yang memiliki hampir 78 juta pengikut itu.

Akaun Bieber yang telah ditutup.

Kekecohan bermula selepas Bieber memarahi peminat yang didakwa biadap terhadap Ritchie di laman sosial, sebelum Gomez menegur tindakan Bieber itu.

BACA: Justin Bieber dan Selena Gomez 'berperang' di Instagram

Ia menjadi semakin hangat apabila Bieber menuduh Gomez sebagai perempuan yang mengambil kesempatan terhadap dirinya.

Enggan berdiam diri, Gomez pula mendakwa Bieber pernah beberapa kali curang ketika mereka menjalinkan hubungan.

'Drama' antara mereka menjadi semakin panas apabila golongan peminat Bieber yang dikenali sebagai Beliebers, dilihat menyokong Gomez.