Selepas 20 tahun, Backstreet Boys kembali juarai carta Billboard

Agensi
Februari 5, 2019 14:00 MYT
BSB akan memulakan konsert jelajah Mei ini sebagai promosi album terbaharu mereka. - Instagram @backstreetboys
KUMPULAN pop popular, Backstreet Boys (BSB) kembali menduduki tempat pertama dalam carta Billboard 200 selepas kali terakhir menguasainya 20 tahun lalu.
Kejayaan terbaharu itu dicapai menerusi album kesembilan mereka yang berjudul DNA.
DNA mencatat jualan 227,000 unit selepas dilancarkan pada 25 Januari lalu.
DNA merupakan album ketiga kumpulan yang dilabel sebagai boyband itu yang berjaya menduduki tempat pertama dalam carta Billboard 200.
Kali pertama adalah menerusi album ketiga mereka, Milennium yang diterbitkan pada tahun 1999 yang merekod jualan 1.13 juta unit, antara yang tertinggi dalam sejarah.
Setahun kemudian, mereka mengulangi pencapaian itu menerusi album Black & Blue, yang berjaya dijual melebihi 1.6 juta unit dan sehingga kini masih dalam senarai top 5 jualan minggu pertama paling laris.
Menerusi beberapa entri di Instagram, ahli kumpulan itu meluahkan rasa terima kasih dan terharu dengan sambutan baik daripada peminat.
"Masih berada dalam industri selepas 26 tahun adalah sesuatu yang mengagumkan, tetapi mampu mencapai nombor satu adalah sesuatu yang sukar dipercayai.
"Terima kasih kepada semua peminat yang menjadikan mimpi kami realiti," kata salah seorang anggota BSB, Kevin Richardson.
BSB akan memulakan konsert jelajah di Amerika Syarikat dan Eropah bermula Mei ini, sebagai rangka promosi album tersebut.
#Album #Backstreet Boys #Billboard 200 #boyband #carta #DNA #konsert
;