PELAKON Rozita Che Wan akui tidak pernah menggunakan wang pendapatan yang diperolehi oleh anaknya, Aaisyah Dhia Rana sebaliknya menyimpan duit tersebut dalam akaun yang disediakan.
“Saya tidak pernah sentuh langsung duit yang Aaisyah dapat kerana itu adalah rezeki dia.
“Kami dah sediakan satu akaun peribadi untuk Aaisyah dan wang yang dia dapat kami akan masukkan ke dalam akaun tersebut sebagai simpanan untuk masa depan.
“Memang banyak tawaran yang dia dapat tapi satu pun saya tak pernah anggap itu sebagai kerja Aaisyah.
"Sebaliknya tawaran yang dia dapat itu semua adalah rezeki dia. Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui di majlis perlantikan Aaisyah Dhia Rana sebagai duta produk Mini Me yang diadakan di Flora Tarrace, pada Khamis.
Mengulas mengenai anaknya, Che Ta memberitahu Aaisyah telah menerima hampir 20 tawaran untuk menjadi duta produk namun dia perlu berhati-hati memilih tawaran yang diberikan supaya tidak membebankan Aaisyah.
“Setakat ini Aaisyah telah menerima hampir 20 tawaran untuk jadi duta produk dan saya bersyukur kerana rezeki dia murah walaupun masih kecil.
“Sebagai ibu, saya tidak mahu anak saya terlalu penat dan sebab itu saya perlu pantau setiap tawaran yang diberikan.
“Selain itu, saya juga akan lihat apa jenis produk yang ditawarkan supaya ia tidak membahayakan anak saya,” jelasnya.
Dalam pada itu, bercakap mengenai perlantikan Aaisyah sebagai duta produk Mini Me, pelakon berusia 43 tahun itu menerima tawaran pihak berkenaan kerana produk tersebut menggunakan bahan organik.
“Saya setuju untuk Aaisyah jadi duta produk ini selepas mendapati produk yang ditawarkan menggunakan bahan organik dan tidak membahayakan.
“Selain itu komitmen yang perlu diberikan oleh Aaisyah tidak banyak dan sesuai dengan usianya yang baru 18 bulan,” ujarnya.