Pelakon dan pelawak Zizan Razak bakal menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan keluarga tahun ini.

Zizan, 31, ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi enggan mendedahkan identiti bakal isterinya kerana perlu berbincang perkara berkenaan dengan keluarga terlebih dahulu.

“Rancang tahun ini. Insyaallah. Saya hanya ikut kata keluarga sahaja. Tak dapat nak komen lebih, saya perlu berbincang dengan keluarga dahulu,” mesej Zizan pendek.

Terdahulu, Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, dilapor menafikan keputusannya itu satu tindakan terburu-buru, sebaliknya berkata ia keputusan rasional kerana berasakan dirinya sudah patut berkahwin dan memiliki anak.

Malah dia turut menafikan langkah ini satu cara untuk melarikan diri daripada kontroversi yang timbul, namun menurutnya berkahwin mungkin dapat mengelakkan fitnah yang bukan-bukan.