Kata penulis, menonton persembahan Syafinaz Selamat (paling kanan) melantunkan sopranonya dalam Opera Puteri Saadong amatlah berbaloi. - Sumber Foto Dailyseni
Puteri Saadong adalah watak sebenar dalam perkembangan sejarah kerajaan Kelantan. Membawa kisah lagenda ini ke pentas mungkin sedikit berisiko kerana karyawan akan berhadapan dengan taboo ‘salah tafsir sejarah’, lebih-lebih lagi sejarah yang melibatkan kejadian-kejadian mistik, memandangkan generasi hari ini rata-ratanya menolak kepercayaan yang dikatakan karut ini.Sudah pasti, sejarah Puteri Saadong yang berlaku di sekitar abad ke-17 akan dikaitkan dengan sejarah awal negeri Kelantan itu sendiri. Sepintas lalu, sejarah Kelantan pasti akan dikaitkan dengan kedatangan seorang ulama’ yang berasal dari negeri Bukhara bernama Saiyyid Hussien Jamadil Kubro pada sekitar abad ke-15. Asal-usul nama ‘Kelantan’ adalah dari perkataan ‘berkilat-kilatan’ – fenomena yang terjadi ketika Saiyyid Hussien Jamadil Kubro bertapa di puncak Bukit Panau.
Wali Allah ini amat dihormati di kalangan penduduk tempatan, bukan sahaja manusia bahkan makhluk di alam ghaib, sehinggakan kalangan jin menggelarnya dengan nama Adi Putra. Dari susur galur Saiyyid Hussien Jamadil Kubro inilah lahirnya wali-wali yang mentadbir Demak di kepulauan Jawa (lebih dikenali sebagai ‘Wali Songo’).
Berdasarkan sejarah di atas, jelaslah bahawa negeri Kelantan antara negeri terpenting dalam perkembangan awal agama Islam di nusantara selain Pasai, Melaka dan Jawa. Tidak hairanlah jika di dalam hikayat-hikayat Melayu menggambarkan raja-raja Melayu dahulukala bukan saja mentadbir manusia bahkan seluruh alam termasuk makhluk ghaib selagi berada di bawah jajahan takluk negerinya.
Raja-raja Melayu zaman dahulu amat mengerti akan hakikat ‘hamba Tuhan’ yang diberi peranan untuk mentadbir alam nyata dan alam kasat mata. Kiranya kelayakan untuk menjadi raja bukanlah mudah, jika tidak mencapai tahap tawadu’ yang tinggi.
Begitulah perihalnya dengan susuk wanita yang tidak terperi jatidirinya bernama Puteri Saadong – ratu yang kedua mentadbir negeri Kelantan selepas Che’ Siti Wan Kembang. Tahap ketaatan dan sikap tawadu’nya pada Maha Esa amatlah tinggi, sehingga baginda juga amat dihormati dan disanjungi oleh rakyat jelatanya, baik manusia mahu pun dari kalangan jin. Maka itu kisah srikandi ini menjadi lagenda yang unggul.
Opera Puteri Saadong – A Visual Malay Opera yang sedang berlangsung di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac), adalah sebuah eksperimen. Cuba mengangkat kisah lagenda ini dalam bentuk opera tradisional, sebuah bentuk persembahan pentas yang berasal dari negara Itali. Opera tradisional bukanlah seperti opera yang biasa kita lihat, yang sama bentuknya dengan teater muzikal.
Opera tradisional, kerap juga dirujuk sebagai ‘number opera’, gabungan dua cara nyanyian iaitu mendeklamasi – plot dibawa menerusi nyanyian yang seakan-akan bertutur (jika dalam konteks budaya kita, ia ibaratnya seperti bersyair atau bergurindam) dan aria (atau lagu rasmi) di mana watak-watak mengekspresi perasaannya dalam melodi yang lebih berstruktur.
Tiada set yang gah; aspek kostum dan tatacahaya mungkin membantu. Semata penyanyi yang diiringi orkestra – menyanyi secara solo, duet, trio atau pun koir. Kaedah lakonan paling minimum boleh diaplikasikan. Apa yang penting adalah kemantapan suara – soprano, alto, tenor dan bass.
Percubaan berani Profesor Madya Dr. Tazul Izan Tajuddin dari Fakulti Muzik Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengangkat naskah Puteri Saadong ke dalam eksperimen ini seperti menyerah leher ke mata pedang.
Sebelum ini, kisah Puteri Saadong telah banyak kali dipentaskan dalam pelbagai bentuk – bangsawan, muzikal, teater kontemporari bahkan tarian. Dalam bentuk persembahan opera tradisional, ini yang pertama. Tetapi tidak bermakna opera yang pertama dalam perkembangan seni teater Melayu.
Sebelum ini kita ada Opera Ayu Cendana (secara peribadi saya kategorikan sebagai opera Melayu tulen) dan Opera Uda dan Dara. Malah, pada zaman kemahsyuran persembahan bangsawan, istilah opera ini sudah luas digunapakai.
Kaedah mengadunkan (fusion) elemen muzik tradisional Kelantan (mak yong), Jawa (gamelan) dalam susunan orkestra juga bukan yang pertama kali diaplikasikan, dan tidak semua komposer berjaya melakukannya. Kadang-kadang boleh jadi indah, kadang-kadang ia menjadi seperti genderang mengiring jenazah ke kuburan.
Perlu diingat, ciri utama dalam elemen muzik tradisional Asia adalah ‘by heart’ – tiada skor. Apabila ia dikongkong dengan skor, jiwa muziknya tiada – tidak meremang bulu roma. Samalah ia dengan paparan visual kemenyan di skrin sewaktu babak prelud (buka panggung) – maya semata. Tiada bau kemenyan.
Tertanya-tanya juga kenapa tiada langsung elemen muzik Siam, kenapa letakkan gamelan? Sedangkan kisah Puteri Saadong adalah krisis kerajaan Kelantan dengan kerajaan Siam. Mungkin jawapannya, Dr. Tazul sengaja kerana mahu memberitahu khalayak bahawa Puteri Saadong mempunyai asas tauhid yang tinggi, yang mungkin diajar oleh wali-wali dari Tanah Jawa, maka ancaman dari Siam sedikit pun tidak menggugat iman dan pendiriannya.
Opera Puteri Saadong – A Visual Malay Opera masih lagi di dalam makmal eksperimen sebenarnya. Tamsilnya – campuran cappucino, tuak nira dan jamu kocok masih belum ketemu rasa yang boleh diterima khalayak. Puteri Saadong adalah lambang jatidiri. Puteri Saadong dan Kelantan mana mungkin dipisahkan. Begitulah juga dengan nusantara – tetap nusantara. Punya acuan tersendiri.
Seperti arkitektura Masjid Kampung Laut (kini dialihkan dari tapak asal ke Kolej Pengajian Ilmu ‘Usuluddin Universiti Malaya, Nilam Puri) di mana rekaannya saling tak tumpah dengan Masjid Agung Demak. Rekaannya sedikit pun tidak terpengaruh dengan arkitektura Parsi mahu pun Moghul ketika itu. Wali-wali serta raja-raja dahulukala telah mencipta tamadun nusantara dengan identiti tersendiri. Jadi, kenapa perlu membuang masa untuk menjadi Eropah atau Arab! Di mana tanggungjawab kita sebagai warga nusantara dalam mengangkat jatidiri kita sendiri?
Pun begitu, menonton persembahan Syafinaz Selamat melantunkan sopranonya amatlah berbaloi.
Sebuah terbitan D’ Catz at Work dengan kerjasama Fakulti Muzik UiTM, persembahan Opera Puteri Saadong – A Visual Malay Opera sedang bermain di Pentas 1, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac):
23 & 24 Januari 2015 – 8.30 malam
25 Januari 2015 – 4.30 petang
Manakala di Pentas 1 Performing Arts Centre of Penang (penangpac):
7 Februari 2015 – 8.30 malam
8 Februari 2015 – 2.30 petang
Tiket berharga RM 48, RM 78 dan RM 108. Diskaun 10% untuk pelajar, warga emas dan O.K.U. Untuk tempahan tiket, sila hubungi box office +603 4047 9000 (klpac) / +604 899 1722 (penangpac).