BEBERAPA bulan dahulu, peminat drama Malaysia telah disajikan dengan gambar-gambar di sebalik tabir drama siri baharu "Projek: Anchor SPM" di media sosial.

Sedikit sebanyak perkongsian yang dibuat oleh pengarah drama bersiri itu, Razaisyam Rashid melalui akaun Twitternya membuatkan peminat tidak sabar menantikan kemunculan drama tersebut.

Namun sepanjang perkongsian itu, ada antara peminat cuba membandingkannya dengan filem "Bad Genius" dari Thailand.

Menurut pengarah bersama dan penulis skrip, Anwari Ashraf, "Projek: Anchor SPM" tidak sama seperti filem tersebut kerana ia membawa genre berbeza.

“Bagi saya untuk samakan 'Projek: Anchor SPM' dengan 'Bad Genius' tidak kena sama sekali, kerana kedua cerita ini membawa genre yang berbeza.

“Pada masa sama, 'Bad Genius' memfokuskan kepada duit, namun 'Projek: Anchor SPM' lebih kepada persahabatan dan sebagainya,” katanya pada sidang media 'Projek: Anchor SPM' secara maya.

Anwari berkata sekiranya peminat filem Thailand itu menonton 'Projek: Anchor SPM', mereka pasti akan dapat melihat perbezaan yang dibawakan dalam drama bersiri ini.

Drama bersiri lapan episod ini dibintangi oleh Nadir Nasar, Chubb-E, Shasha Abedul, Daiyan Trisha, Aedy Ashraf, dan Adlin Aman Ramli.

Barisan pelakon Projek: Anchor SPM

"Projek: Anchor SPM" akan ditayangkan setiap Isnin, 9 malam mulai 15 Mac, eksklusif di saluran Astro Citra HD (108) dan Astro Citra (128).

Untuk pilihan yang lebih fleksibel, anda juga boleh distrim drama Astro Original ini melalui aplikasi Astro GO dan on demand.


Trailer Projek Anchor SPM