SEKALIPUN ini bukan kali pertama dia bergelar ibu, namun, keterujaan menerima kedatangan seorang lagi permata hati sukar disembunyikan pelakon cantik, Fasha Sandha.

Sejak Jumaat lalu, rutin harian Fasha semakin berubah, tiada lagi kesibukan mengejar waktu untuk ke lokasi penggambaran.

Sebaliknya, dia kini harus menghabiskan tempoh berpantang selepas melahirkan anak ketiganya pada 7 Ogos lalu.

Sebagai menjawab pertanyaan dan melayan permintaan rakan-rakan serta peminat-peminatnya, Fasha dan suaminya yang juga aktor terkenal, Aidil Aziz sepakat memperkenalkan bayi perempuan mereka pada Sabtu.

Menerusi akaun Instagramnya, Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, 36, memperkenalkan bayinya itu dengan nama Aisha.

Beserta foto wajah bayi comel itu, Fasha turut memuat naik kapsyen rakaman penghargaan kepada petugas perubatan yang menyambut kelahiran terbaharunya itu.

Hantaran Fasha itu turut disambut dengan ucapan tahniah yang diterima daripada rakan-rakan selebriti antaranya daripada penyanyi, pelakon dan pengacara terkenal, Elly Mazlein.

"Alhamdulillah syukur .. Tahniah @fashasandha .. welcome to the world little Sayang ❤️❤️❤️❤️❤️," tulis Elly dalam ruangan komen.

Artis jelita Erra Fazira juga menitipkan ucapan tahniah buat Fasha di atas kelahiran Aisha.

"Alhamdulillah.. Congratulations adikku.. Moga Aisha menjadi anak yg solehah berjjaya dunia dan akhirat.. aminnnnn," tulis Erra lagi.

Tidak ketinggalan beberapa artis lain seperti pelakon senior, Fauziah Nawi, aktres Zahida Rafik, penyanyi Siti Sarah Raisuddin dan lain-lain juga memuat naik ucapan tahniah buat Fasha dan Aidil.

Aisha merupakan zuriat ketiga buat Fasha dan anak sulung kepada Aidil.

Pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada Mac tahun lalu.

Menerusi perkahwinan sebelum ini, Fasha dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Putera Rayfal Ramli, 7, dan Puteri Raysha Jemyma, 5.


Pasangan romantik, Fasha Sandha dan suaminya, Aidil Aziz. - Gambar Instagram FASHA SANDHA