PENULIS bersama dan penyanyi asal lagu "I Love Rock 'N' Roll", Alan Merrill meninggal dunia pada 69 tahun akibat jangkitan COVID-19.

Perkara itu disahkan anak perempuan mendiang, Laura Merrill di laman Facebook rasminya pada Ahad.

“Mendiang tidak mengambil serius ‘selesema’ yang telah dijangkiti itu, namun tidak tahu ia sebenarnya jangkitan COVID-19,” kata Merrill dalam kenyataan itu.

Alan Merill, singer, artist

Merrill yang masih tidak percaya kehilangan bapanya itu turut menasihati supaya orang ramai tidak mengambil ringan wabak itu yang sudah meragut nyawa bapanya itu.

“Anda mungkin berfikir virus ini tidak akan menjangkiti kamu atau keluarga kamu yang kuat, namun ia tidak mustahil.

“Perkara ini benar-benar boleh berlaku, jadi duduk di rumah. Kalau bukan untuk kamu, untuk orang lain. Untuk bapa saya,” tambah Merrill lagi.


Alan Merrill berkahwin dengan model, Cathee Dahmen yang meninggal dunia pada tahun 1997 dan mempunyai dua anak, Laura dan Allan Merrill.

“I Love Rock ‘N’ Roll” telah menjadi hit antarabangsa pada 1982 selepas dinyanyikan semula oleh Joan Jett & The Blackhearts.

Ia kemudian turut dinyanyikan semula oleh artis terkemuka seperti Britney Spears.

Lagu itu turut menjadi hit pertama di UK pada Krismas lalu dengan parodi bertajuk I Love Sausage Rolls.