PELAKON dan ahli perniagaan, Riezman Khuzaimi, 46, menamatkan zaman duda apabila menikahi wanita yang mendapat jolokan 'Iron Lady', Datuk Normaziah Sheikh Mohamad, 47, di Shah Alam, Selangor, kira-kira jam 2 petang, semalam.
Riezman berkata, mereka tidak berniat merahsiakan majlis berkenaan, sebaliknya ia diadakan secara kecil-kecilan dengan hanya dihadiri kira-kira 40 orang ahli keluarga terdekat.
"Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Cuma majlis nikah kami dibuat secara tertutup bagi menghormati permintaan keluarga masing-masing," katanya yang sebelum ini menduda selama dua tahun.
Katanya, majlis merisik berlangsung di Shah Alam, pada September lalu selepas hampir enam bulan mengenali hati budi masing-masing.
Mengenai wanita istimewa di hatinya itu, pelakon terbabit menyifatkan Normaziah sebagai insan yang sangat merendah diri biarpun dikenali sebagai usahawan berjaya selain penuh dengan sifat keibuan selain memahami.
"Beliau membuatkan saya tidak berasa canggung apabila berada di sisinya malah pengalaman berdepan kegagalan rumah tangga seperti saya membuatkan kami lebih memahami satu sama lain," katanya lagi.
Sementara itu, pada majlis pernikahan semalam pengantin lelaki menyerahkan sebentuk cincin bersama mas kahwin berjumlah RM300, tanpa wang dan dulang hantaran.
Pasangan terbabit juga akan diraikan di sebuah hotel di Shah Alam pada 24 Disember ini.
Terdahulu, Riezman pernah berkahwin dengan pelakon, Kartina Ayub, pada 2001 namun berpisah pada 2015. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, Afiq Kiraman, 13, dan Ruzain Nars, 8.
Kartina pula mempunyai seorang lagi anak daripada perkahwinan terdahulu, Tatiana Batrisya, 21. Sumber: BH Online