PELAKON Robbie Coltrane, yang memegang watak sebagai Rubeus Hagrid dalam siri filem Harry Potter, meninggal dunia pada usia 72 tahun.

Dalam satu kenyataan, ejen pelakon itu Belinda Wright mengesahkan Coltrane meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Forth Valley Royal di Falkirk, Scotland.

Wright menyifatkan Coltrane sebagai seorang "pelakon yang unik" selain wataknya sebagai Hagrid telah "membawa keceriaan kepada kanak-kanak serta orang dewasa di seluruh dunia".

"Bagi saya secara peribadi, mendiang merupakan seorang klien yang setia. Mendiang juga merupakan seorang pelakon yang mengagumkan, cerdik serta pandai berjenaka pintar.

"Selepas lebih 40 tahun menjadi ejennya, saya akan sangat merinduinya," katanya.

Coltrane meninggalkan dua orang anak, Spencer dan Alice, bekas isterinya Rhona Gemmell serta adik perempuannya Annie Rae.

Selain Harry Potter, Coltrane pernah muncul dalam drama cerita detektif keluaran ITV, Cracker serta dalam filem James Bond, Goldeneye dan The World Is Not Enough.

Mendiang pernah menerima anugerah OBE pada tahun 2006 selain Anugerah Bafta Scotland pada tahun 2011 untuk sumbangannya dalam dunia seni.

Antara yang menzahirkan ucapan takziah merupakan bintang Harry Potter sendiri, Daniel Radcliffe yang menyifatkan Coltrane sebagai orang paling lucu dia pernah temui.

"Mendiang sentiasa membuat kami tergelak di set penggambaran.

"Memori paling indah saya bersamanya adalah ketika kami sedang membuat penggambaran Prisioner of Azkaban.

"Masa itu kami terpaksa berlindung dalam rumahnya akibat hujan lebat dan dia sentiasa membuat kami tergelak dengan cerita lucunya bagi menaikkan semangat kami.

"Saya rasa sangat bertuah kerana dapat bekerja bersamanya," katanya dalam satu kenyataan.

Pelakon Emma Watson pula berkata dalam kemas kini terbaharu di akaun Instagram miliknya, "tiada Hagrid yang lebih baik" dan dia "sangat gembira menjadi Hermoine" bersamanya.

"Saya akan sangat merindui jasa baik dan gelak ketawanya," katanya.

Turut mengucapkan takziah adalah penulis buku Harry Potter, JK Rowling yang menyifatkan Coltrane sebagai "seorang pelakon yang sangat luar biasa".


Robbie Coltrane, atau nama sebenarnya, Anthony Robert McMillan, dilahirkan di Rutherglen, South Lanarkshire pada tahun 1950.

Coltrane merupakan anak kepada seorang guru dan pemain piano Jean Ross dan GP Ian Baxter McMillan dan menerima pendidikan di Kolej Glenalmond di Perth dan Kinross.

Mendiang memulakan kariernya sebagai pelakon pada tahun 1979 dalam siri TV, Play for Today dan mula menjadi popular dalam siri TV komedi BBC, A Kick Up the Eighties pada tahun 1980-an.

Belasungkawa | Pelakon Harry Potter meninggal dunia