PELAKON Korea Selatan, Park Seo-joon akan membintangi filem superhero terbaharu Marvel Studios, kata agensinya pada Jumaat.

"Park akan tampil dalam sebuah filem Marvel Studios," kata Awesome ENT dalam satu kenyataan.

Perincian projek, termasuk judul filem, jadual penggambaran dan lokasi, akan diumumkan kemudian, tambah kenyataan tersebut.

Terdapat desas-desus bahawa Park merupakan salah seorang pelakon dalam sekuel Captain Marvel, berjudul The Marvels, dan akan bergandingan dengan Brie Larson dan Iman Vellani.

Projek yang diarahkan oleh Nia DaCosta dikatakan mula menjalani penggambaran tahun ini dan akan menemui penonton pada tahun 2023.

Park menjadi pelakon ketiga dari Korea yang membintangi filem Marvel, selepas Soo-hyun, yang dikenali sebagai Claudia Kim, dalam "Avengers: Age of Ultron" (2015) dan Ma Dong-seok, atau Don Lee, yang tampil dalam "Eternals".

Pelakon berusia 32 tahun ini berjaya mengukir kejayaan dalam karier lakonannya menerusi siri TV seperti "What Wrong with Secretary Kim" (2018) dan "Itaewon Class" (2020).

Dia juga membuat penampilan istimewa dalam filem black comedy yang memenangi Oscar, Parasite, pada 2019.