Mengambil inspirasi kejayaan luar biasa filem Ola Bola yang ditayangkan tahun lalu, syarikat produksi Enfiniti dengan kerjasama Astro Shaw, Golden Screen Cinemas dan Multimedia Entertainment tampil membawa filem itu ke pentas teater pula.

OlaBola The Musical bakal membawa semua aspek kemegahan filem berkenaan secara langsung ke pentas Istana Budaya, Februari depan.

Lebih menarik, ia bakal menjadi buah tangan sulung arahan pelakon berkaliber, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Ditemui di sidang media OlaBola The Musical di Panggung Bandaraya, hari ini, Tiara memberitahu beliau cukup teruja dan mahu memastikan pementasan teater itu menjadi yang terhebat dalam sejarah.

"Selepas menonton Ola Bola di panggung, saya rasa terpanggil untuk menterjemahkan karya hebat ini ke pentas teater dan saya yakin naskah ini mampu memberi impak yang sama hebat kepada penonton," kata Tiara.

Pelakon Puteri Gunung Ledang itu bagaimanapun masih memikirkan bagaimana mahu 'membawa' sebuah stadium yang dipenuhi 20,000 penonton ke pentas teater.

"Saya anggap ia cabaran terbesar saya sebagai pengarah pementasan ini. Elemen 'perasaan' berada di dalam stadium sangat penting dalam filem ini, justeru merealisasikannya di pentas teater bukan sesuatu yang mudah," tambah Tiara.

Antara tenaga kerja yang akan memastikan kejayaan Ola Bola The Musical.


Menyentuh tentang pemilihan pelakon, kata Tiara, pihak produksi masih dalam proses mencari pelakon bersesuaian dan tidak menolak kemungkinan untuk membawa wajah-wajah yang sama dari filem ke teater.

"Tapi kami perlu menilai banyak perkara kerana berlakon teater tidak sama dengan filem. Komitmen sangat tinggi diperlukan daripada mereka yang terpilih. Kami mahukan pelakon yang sport person.

"Apa lagi, ini merupakan teater muzikal. Keupayaan menyanyi secara langsung juga perlu diambil kira," ujarnya.

Antara aspek menarik yang bakal disajikan kepada penonton dalam teater ini adalah suntikan elemen muzik hip hop dan rap yang akan melatari pementasan ini.

"Kami mengambil masa yang lama untuk memilih konsep yang akan diketengahkan. Ini cerita tentang bola sepak, jadi muziknya perlu ada semangat bola sepak juga.

"Selepas berbincang, kami yakin muzik hip hop dan rap paling sesuai," jelas Tiara.

Untuk tujuan itu, dua watak penting muzik hip hop dan rap telah dipertanggungjawabkan untuk mewarnai pementasan itu, iaitu Mia Palencia dan Altimet.

Selain mereka, turut akan memainkan peranan penting adalah Pengarah Muzik, Saiful Ridzuan dan pereka set, Raja Malek.

OlaBola The Musical dijadualkan dipentaskan selama sebulan dari 22 Februari 2018 hingga 22 Mac 2018 di Istana Budaya.

Mereka yang berminat untuk menyaksikannya boleh mendapatkan tiket pada harga diskaun, RM120, bermula 25 Mei 2017. Jualan tiket pada harga promosi bagaimanapun akan berlangsung selama tiga bulan sahaja.

Untuk informasi dan maklumat tiket, bolehlah melayari laman web www.olabolamusical.com.