PELAKON terkenal, Nora Danish bertukar karakter menjadi seorang wanita psiko dan melakukan aksi kejar mengejar dengan seorang pemandu Uber.
Adegan kejar mengejar itu merupakan antara plot yang terkandung dalam telefilem Lampu Merah di bawah slot Karya 12 arahan pengarah Ghaz Abu Bakar.
“Menerusi telefilem Lampu Merah, Nora melakonkan watak seorang wanita yang psiko. Bagi saya, watak ini agak berbeza berbanding watak yang pernah Nora bawakan sebelum ini kerana ia merupakan percubaan pertama Nora dalam merealisasikan karakter psiko,” kata Ghaz.
Selain Nora, pengarah filem box-office Polis Evo ini turut menampilkan seorang bakat baru dalam bidang lakonan, Ucopp yang merupakan personaliti media sosial popular di laman Instagram.
“Ia mengisahkan mengenai Amir, lakonan pelakon baru, Ucop yang diberhentikan kerja dan menyara kehidupan sebagai seorang pemandu Uber. Ucop meminati bekas rakan sepejabatnya, yang dilakonkan oleh Nora.
“Ucop memberanikan diri untuk melafazkan cintanya dan Ucop terkejut kerana mendapat tahu yang sebenarnya Nora merupakan seorang wanita psiko. Selepas itu, adegan kejar mengejar berlaku antara Nora dan Ucop,” katanya lagi.
Telefilem Lampu Merah membariskan Nora Danish, Ucop, Didie Alias, Pablo Amirul dan ramai lagi. Jangan lupa saksikan telefilem arahan Ghaz Abu Bakar ini dalam slot Karya 12, malam ini (Ahad), jam 10.00 malam.
Lampu Merah disiarkan secara eksklusif di saluran Astro Citra (131) dan Mustika HD (134). Gunakan hashtag #Karya12 #LampuMerah untuk berinteraksi mengenai telefilem ini di laman sosial.