PELAKON popular Nad Zainal baru-baru ini memuat naik satu posting di Instagram Stories miliknya dengan menulis bakal berehat seketika dalam penggambaran drama bersiri.

Mengulas lanjut isu berkenaan, pemilik nama Farah Nadia Zainal Abidin berkata tindakan tersebut diambil kerana dikhuatiri penonton berasa jemu seandainya melihat wajah pelakon yang sama di kaca televisyen.

“Saya tidak boleh katakan berapa lama akan berehat dalam mengambil tawaran siri.

“Saya rasa ingin fokus pada telemovie terlebih dahulu, sebabnya dah back to back penggambaran drama bersiri, saya risau penonton akan bosan melihat wajah yang sama di televisyen.

"Saya tidak mahu hal demikian bertindih-tindih,” katanya.


Tambah pelakon drama "Dendam Seorang Isteri" itu, dia akan menggunakan waktu rehatnya untuk mencari keunikan lain yang boleh ditonjolkan dalam lakonan, katanya ketika dihubungi melalui aplikasi WhatsApp pada Jumaat

“Dengan merehatkan diri ini saya boleh cari perkara-perkara yang saya tidak pernah buat, yang tidak pernah saya bawa dalam mana-mana drama sebelum ini.

“Saya ingin lari seketika dari mengambil tawaran yang ada jalan cerita kisah cinta,” ujar Nad.

Sekadar info, selepas kejayaan membintangi drama bersiri 85 episod, "Dendam Seorang Isteri", Nad kini sibuk dalam drama 16 episod arahan Shahrulezad (Budak Ijat) berjudul "Cina Buta".

Memegang watak sebagai Mia sara, "Cina Buta" mengisahkan kisah perceraian dan masalah rumah tangga dalam kalangan masyarakat masa kini.

"Cina Buta" bakal bersiaran di saluran Astro Ria bermula Oktober depan. -Gempak