Bintang Rock Amerika Syarikat, Meat Loaf, 68, dilaporkan jatuh pengsan ketika membuat persembahan di Edmonton, Kanada pada Khamis.

Beberapa minggu sebelum itu, Meat Loaf atau nama sebenarnya Marvin Lee Aday terpaksa membatalkan konsertnya di Moose Jaw dan Calgary kerana masalah kesihatan.

Meat Loaf sedang mendendangkan lagu hitnya "I'd Do Anything for Love (But I Won't Do That) sebelum rebah.

Beliau terlebih dahulu kelihatan menjatuhkan mikrofon sebelum perlahan-lahan rebah di atas lantai pentas.

Sumber: YouTube ChoorV

Para pemuzik yang mengiringinya lantas menghentikan persembahan di auditorium The Northern Jubilee dan meluru ke arah Meat Loaf sebelum beliau kemudiannya dikejarkan ke hospital.

Menurut agensi berita Edmonton Journal, peminat yang hadir pada mulanya menyangka ia sebahagian daripada gimik persembahan.

Ini bukan kali pertama perkara sama berlaku ke atas penghibur ini. Sebelum ini, Meat Loaf jatuh pengsan pada tahun 2003 ketika mengadakan persembahan di London.

Pada 2011, Meat Loaf juga dilaporkan rebah di dalam konsertnya di Pittsburgh yang didakwanya akibat serangan asma.