Benar.
Sial menjadi seorang Marlina.
Bukan malam itu sahaja.
Tetapi sudah banyak kali.
Kehilangan suami, kehilangan anak dan hidup sebatang kara.
Sialnya seorang Marlina, hidupnya teraniaya sunyi.
Ditemani jasad suami yang masih tegap sambil duduk di ruang tamu, tiada wang secukup untuk disemadikan, ikut atur cara dan kelaziman masyarakat Sumba.
Sialnya seorang Marlina, masih belum mampu langsai hutang dari pengebumian anaknya yang berusia tujuh bulan, Topan, sehingga terpaksa membiarkan diri hidup ditemani mayat.
Sial dan malang seorang Marlina tiada penghujung.
Dikunjungi seorang tetamu, lelaki tua bernama Markus mengetuk pintu masuk secara terhormat, terang-terang khabarkan niat merompak ternakan milik Marlina, dan memperkosanya.
Ini kisah pembuka : "Marlina, si pembunuh dalam empat babak".
Babak pertama: Rompakan
Tujuh lelaki diketuai Markus berada di rumah kayu Marlina.
Sepuluh ekor kerbau, sepuluh ekor babi, sepuluh ekor kambing dan tujuh ekor ayam, dibawa masuk ke trak milik perompak.
Diminta menyediakan hidangan makan malam untuk jamuan lima daripada tujuh perompak, Marlina turuti dengan Markus sudah menanti di ranjang untuk meratah tubuhnya.
Namun malang dan sial beralih kepada penceroboh, mereka mati diracun, Markus pula dipenggal ketika Marlina diperkosa.
Babak kedua: Perjalanan
Kepala Markus jadi bahan tahanan dalam perjalanan Marlina menuntut keadilan, menebus dosa kerana sial dan malang daripada kejadian yang menimpanya.
Bayangan Markus tanpa kepala dengan alunan muzik dari alatan yang dimainkan, terus 'menuruti' Marlina ke mana sahaja.
Marlina ditemani rakan sekampung, Novi yang sedang hamil, dalam misi tersendiri mencari suaminya, si Umbu.
Ketika diburu saki-baki rakan Markus, Marlina dan Novi terpisah meninggalkan Marlina yang teraniaya sunyi, menyambung perjalanan menuntut keadilan. Seekor kuda sepi menjadi teman setianya.
Babak ketiga: Pengakuan
Sangkaan Marlina yang nasibnya selepas dirogol dapat pembelaan ternyata meleset.
Namun ketika perjalanan Marlina berakhir di balai polis, kesabarannya sekali lagi diuji.
Ditebak pertikaian daripada polis sama ada kejadian yang diadu benar-benar berlaku, Marlina tenang sendiri kerana sudah menjalankan hukuman ke atas pelaku jenayah terhadapnya.
Di babak ini juga Marlina dipertemukan dengan si kecil pembantu kedai bernama Topan, umpama bayangan anaknya yang sudah tiada.
Babak keempat: Kelahiran
Rakan Novi jadi tahanan Franz, orang kuat Markus, yang mahu menuntut kepala ketuanya, untuk disemadikan.
Mahu tidak mahu, Marlina kembali ke rumah jenayah untuk menyelamatkan Novi.
Tetapi untuk malang dan sial kesekian kalinya, Marlina jadi mangsa serakah Franz.
Separuh kejadian ranjang, Novi menyelamatkan Marlina dengan memenggal kepala si pemangsa.
Kematian Franz disambung dengan kelahiran nyawa baru dari rahim Novi, yang disambut Marlina sebagai bidan.
Apa kata pengulas filem, Marlina Manaf:
Latar filem ini menakjubkan.
Pemandangan Pulau Sumba, Indonesia yang belum habis diterokai.
Langitnya biru, awannya putih dan lalang berwarna keperangan.
Cahaya tembus di sebalik tingkap usang kediaman Marlina, menampakkan jelas sisi gelap Markus, keresahan Marlina.
Indah.
Sejujurnya, filem ini gah aspek sinematografi, seawal minit-minit pertama lagi.
Kisahnya mudah.
Perihal wanita yang sunyi, teraniaya dan jadi mangsa penindasan serta buli kaum lelaki dalam dunia besar.
Wanita, tidak terhad hanya di Pulau Sumba, tempat kejadian filem ini, yang masih dianggap rakyat kelas kedua, tidak wajar diangkat sedarjat lelaki.
Sebaliknya dibayangkan wujud di bumi ini sebagai satu objek dan pemuas nafsu.
Wanita yang asalnya dari dapur dan berakhir juga di dapur.
Filem ini perihal wanita yang sebenarnya ada kala lepas laku dari batasan moral manusia akibat tertindas.
Marlina jadi pembunuh kerana dia dianiaya, dirogol dan dirompak.
Ia juga persoalkan manusia yang jadi polis moral atas kelakuan individu lain, menilai luaran tanpa memahami kisah di sebaliknya.
Melihat Marlina menjinjing kepala Markus, ramai yang jadi hakim, melarikan diri dan jatuhkan hukuman perempuan ini tidak siuman.
Namun masih ada yang sudi berdamping, menemani Marlina sepanjang perjalanan di dalam bas, atas alasan masing-masing.
Filem ini mengangkat kebenaran adakalanya perjalanan menuntut keadilan, dalam apa jua situasi, tidak akan menjadi mudah dan manis.
Perjalanan mahu cari lembaran baru, yang akan sentiasa dihantui beban dosa silam, yakni dalam filem ini bayangan mayat Markus tidak berkepala yang menurut Marlina di mana sahaja.
Perjalanan bakal juga bertemu kegagalan kedua, andai hajat mengadu tidak pula diterima pihak yang sewajarnya.
Ini resam yang ada dilalui wanita.
Dianiaya, teraniaya, mahu menuntut keadilan, tetapi lain pula hasilnya.
Kekecewaan ini pula mengundang kepada penerimaan rasa wajar dengan tindakan lepas laku, seperti membunuh, dan apabila Novi mengajak Marlina ke gereja, mengaku kesalahan, cadangan itu ditolak mentah-mentah.
"Saya tidak rasa bersalah."
Marlina, jika dunia moral tanpa sempadan itu wujud, tiada salahnya memenggal kepala lelaki yang menodaimu, tiada juga salahnya meracun mati empat lelaki lain yang menanti giliran merogolmu.
Tetapi hidup ini berpaksikan yang salah dan yang betul.
Rogol itu salah, bunuh itu juga menjadi tidak betul.
Tetapi setiap kesalahan ada jalan untuk bertaubat, kelahiran bayi Novi, sejurus pembunuhan Franz, beri bayangan, setiap insan ada peluang dilahirkan semula sesuci kain putih, seperti bayi.
"Marlina, Si Pembunuh Dalam Empat Babak", filem mengadun acuan lazim penceritaan Barat dan disadurkan budaya tempatan masyarakat Sumba.
Karya arahan Mouly Surya ini diangkat sempurna, watak si Marlina, wajah wanita tak berperasaan menjadi di tangan Marsha Timothy, aktres yang pernah membintangi filem "The Raid 2: Berandal".
Karakter sampingan, Markus, Franz, Novi, dan Mama, mengisi lengkap kanvas filem ini, sama ada dengan ekspresi wajah, bibit dialog ancaman mahu pun selitan komedi.
Filem ini bawa penceritaan yang jujur dan bersahaja.
Individu bernama Marlina mungkin dapat merasa kaitan langsung dengan hidup yang mereka jalani ketika ini, cuma berbeza latar belakangnya.
Uniknya karya ini hingga ia diangkat ke persada antarabangsa termasuk ke Festival Filem Antarabangsa Sundance, Festival Filem Antarabangsa Hawaii dan Festival Filem Antarabangsa Karlovy Vary.
Deep dan provokatif, "Marlina, Si Pembunuh Dalam Empat Babak" cukup rencah untuk membawa penonton ke panggung.
"Marlina, Si Pembunuh Dalam Empat Babak" akan ditayangkan di lima buah pawagam eksklusif di Mid Valley Megamall, Pavillion Kuala Lumpur, 1 Utama Shopping Centre, Paradigm Mall dan Gurney Plaza bermula hari ini (8 Mac).