PENYANYI Zamani tampil memohon maaf menerusi akaun Instagramnya setelah gagal menyampaikan lagu pada konsert minggu kelima, program Gegar Vaganza musim kelima (GV5).

Bukan itu sahaja, vokalis kumpulan Slam ini turut menyampaikan ucapan terima kasih di atas sokongan padu yang diberikan.

"Maaf kepada semua kerana tak dapat menyampaikan lagu, Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta pada malam konsert kelima.

"Terima kasih pada semua atas sokongan padu yang diberikan pada malam itu @abgadeksuperfans_official. Terima kasih tak terhingga pada @aliffsyukriterlajaklaris di atas pemberian imuniti dan juga pada juri-juri @tokram_ramlims, ibu kathy & @emyliadac juga pada @jihanmuse @nabilzira.


"Terima kasih team produksi #gegarvaganza5 @gegarvaganzaofficial yang menjaga saya selama ini dan pada semua peserta #gv5 yang seperti keluarga dan tak pernah putus memberikan sokongan dan dorongan selama ini.

"Terima kasih atas doa-doa anda semua," tulisnya beserta dua video pada sesi latihan sebelum itu.

Bagaimanapun Zamani, 47 tahun, tidak menyatakan sama ada dia akan meneruskan perjuangannya pada minggu hadapan.

Sementara itu, rata-rata pengikut Zamani meminta penyanyi tersebut terus kuat semangat dan tidak memohon maaf kerana tidak membuat apa-apa kesilapan.