PELAWAK ternama, Pelawak Lan Pet Pet mengakui sudah bersedia untuk menetap di Madinah, Arab Saudi.

Menurut Lan atau nama sebenarnya, Mazlan Ahmad, 55, hasrat murni itu juga disambut baik oleh keluarga terutama isterinya, Ruby.

“Cita-cita saya dari saya kecil adalah teringin nak rapat dengan Rasulullah SAW.

“Bila saya sudah berkeluarga, saya ada menanyakan kepada isteri saya Ruby, adakah awak bersedia kembali ke Rahmatullah di al-Baqi, Madinah.

“Kemudian, dia berkata saya sangat suka untuk kembali ke rahmatullah di al-Baqi, Madinah,” katanya kepada Gempak.

Lan Pet Pet berkata demikian ketika menghadiri majlis doa selamat dan majlis kenduri kesyukuran Senario yang berlangsung di AL- Maliki, Puncak Alam, Selangor.

Melanjutkan bicara, dia juga sudah melakukan persiapan namun ditangguhkan seketika bagi menghormati permintaan terakhir arwah Hamdan Senario.

“Kami juga sudah lakukan persiapan untuk menetap di sana mungkin kalau ada rezeki saya mahu berhijrah ke sana.

“Sepatutnya pada tahun ini tapi isteri Arwah Hamdan, Lin menyuruh saya kembali ke Senario dan saya juga mengambil keputusan untuk kembali ke Senario untuk menjaga ukhuwah dan silaturahim.

“Alhamdulillah, kami juga memenangi anugerah Artis Komedi Popular ABPBH 36. Bukan kami yang meletakkan kami di nombor satu tapi peminat-peminat kami yang kami di carta nombor satu,” jelasnya.

Dalam masa sama, Lan juga berkongsi hasratnya untuk dikebumikan di tanah perkuburan al-Baqi.

“Sekirannya, saya kembali ke Rahmatullah, saya juga teringin bersemadi di al-Baqi, Madinah. Sebab dekat dengan makam Rasulullah SAW,” kongsinya. - Gempak