PENYANYI Tomok akui anak sulungnya Arrianshah Akid, 5 tahun merupakan peminat tegar animasi kanak-kanak popular, Didi & Friends.

Kata Tomok, Arrian juga sudah menghafal hampir kesemua lagu-lagu popular animasi tersebut.

“Dia memang suka dan dari kecil pun Arrian memang sudah mendengar Didi & Friends.

“Lagu-lagu animasi tu tak payah cakaplah memang dia dah hafal. Apatah lagi apabila berada dalam kereta pun memang Arian mahukan lagu Didi & Friends,” katanya ketawa.

Bercerita mengenai animasi tersebut, Tomok membuat penampilan istimewa bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi ‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’.



‘Konsert Hora Horey Didi & Friends’ yang dibawakan oleh Astro dan Digital Durian ini merupakan konsert animasi pertama yang ditayangkan di layar perak.

Sebanyak 30 buah lagu akan dipersembahkan dan 17 daripadanya merupakan lagu baru.

Istimewanya lagi, Datuk Siti Nurhaliza yang mendendangkan lagu bertajuk ‘Oh Nana’ akan dizahirkan dalam bentuk karakter animasi 3D dengan panggilan Mak Iti.



Konsert yang dijayakan oleh watak Didi, Nana, Jojo dan rakan-rakannya ini bakal membuka tirai di pawagam seluruh Malaysia dan The Mall, Brunei bermula 10 Mac depan.

Foto: Instagram @tomokofficial

Teks oleh: Mya Amri